Resolusi Kongres Majlis Agama Islam Negeri-Negeri Seluruh Malaysia

Print

KONGRES MAJLIS AGAMA ISLAM NEGERI SELURUH MALAYSIA


Dewan Merdeka, PWTC, KUALA LUMPUR

28 – 29 Syawal 1432H /26 – 27 SEPT 2011

Anjuran Bersama

JAKIM & MAIN

 

RESOLUSI

PENEGASAN

 

  • Menyedari bahawa selama ini masih ramai di kalangan masyarakat yang tidak memahami bidang kuasa dan peranan Majlis Agama Islam Negeri secara jelas;
  • Memandangkan kepada perlunya masyarakat memahami akan peranan dan kedudukan Raja-Raja Melayu, yang selama ini menaungi Majlis Agama Islam dan sentiasa memberi keadilan dan kesejahteraan serta keharmonian hidup masyarakat berbilang kaum dan agama di negara ini;
  • Menyedari kedaulatan Islam yang semakin tercabar, perpaduan umat Islam yang semakin rapuh, serta imej Majlis Agama Islam Negeri yang belum begitu kompetatif;

  • Menyedari akan kepentingan mencorakkan masa depan negara bagi membawa kepada kedamaian dan kesejahteraan, melalui semangat perlembagaan dan nilai budaya bangsa;

  • Menyedari akan kepentingan Majlis Agama Islam Negeri perlu berperanan sebagai pemacu transformasi ummah;
  • Amat teruja dengan keperihatinan Duli-Duli Tuanku bagi memartabatkan agama, ummah dan jatidiri bangsa;

 

MAKA DENGAN INI; Kongres Majlis Agama Islam Negeri Seluruh Malaysia yang diadakan di PWTC pada 26 hingga 27 September 2011, dihadiri oleh 1,351 orang perwakilan, menjunjung tinggi titah ucapan perasmian Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Watiqubillah Tuanku Mizan Zainal Abidin Ibni Al-Marhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah, dan menjunjung kasih Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Perak Darul Ridzuan, Raja Dr. Nazrin Shah ibni Sultan Azlan Muhibuddin Shah, di atas titah Diraja, dan seterusnya bersetuju mencadangkan beberapa gagasan resolusi seperti yang berikut:


PERTAMA

Kedaulatan Raja-Raja Melayu yang mempunyai kuasa prerogatif terhadap agama Islam hendaklah terus terjamin dan terpelihara. Adalah digesa supaya dasar-dasar negara dan pelaksanaannya disemak dan diperhalusi agar tidak bercanggah dengan semangat Perlembagaan dan tidak bertentangan dengan wasiat Raja-Raja Melayu.


KEDUA

Majlis Agama Islam Negeri hendaklah dirangka sebagai satu Dewan Pentadbiran Islam di bawah naungan, pengawasan dan pemantauan Raja-Raja Melayu, bertanggung jawab terhadap perkara berkaitan Islam. Majlis Agama Islam Negeri hendaklah berperanan sebagai jambatan penghubung di antara umat Islam dengan Raja, di antara umat Islam dengan Kerajaan pilihan rakyat dan di antara umat Islam dengan warga yang tidak beragama Islam.


KETIGA

Mengusulkan supaya Majlis Agama Islam Negeri melantik keanggotaan yang lebih representatif dengan bilangan yang mencukupi dari kalangan individu yang memiliki pelbagai kepakaran untuk menjadi tenaga penggerak profesional bagi mencetuskan inovasi serta melaksanakan aktiviti-aktiviti dalam bidang ekonomi, perniagaan, perdagangan dan pendidikan.


KEEMPAT

Mengemaskinikan Enakmen/Akta Majlis Agama Islam Negeri supaya mempunyai bidang kuasa yang membolehkan Majlis Agama Islam Negeri berfungsi secara lebih berkesan, memiliki autonomi dan akauntabiliti kepada ALLAH SWT dan Raja-Raja Melayu.


KELIMA

Memastikan Majlis Agama Islam Negeri bebas dan bersih dari sebarang pengaruh, campur tangan dan penglibatan politik kepartian serta memastikan keanggotaan Majlis Agama Islam Negeri tidak disertai oleh individu yang aktif dalam parti politik melainkan yang diperkenankan oleh Raja Pemerintah dilantik atas jawatan bagi mewakili Pihak Berkuasa Agama Negeri atau sesuatu institusi yang penting kepada Majlis Agama Islam Negeri.


KEENAM

Memperkukuhkan struktur pentadbiran Majlis Agama Islam Negeri secara kolektif bagi melaksanakan transformasi pengurusan Islam yang profesional dan inovatif serta pendekatan yang lebih strategik dan holistik sesuai dengan pembangunan masa depan negara.


KETUJUH

Majlis Agama Islam Negeri hendaklah menerokai kaedah dan pendekatan yang dapat memperkukuhkan kedudukan kewangan Majlis Agama Islam Negeri secara lestari.


KELAPAN

Majlis Agama Islam Negeri perlu menjadi pemegang amanah kepada institusi pendidikan, tabung kewangan dan hartanah yang strategik untuk umat Islam.


KESEMBILAN

Menerokai usaha membangunkan modal insan dan modal sosial di kalangan ummah agar tidak tercicir dan ketinggalan dengan menyuntik perisian dan komponen latihan yang lebih relevan dengan keperluan guna tenaga semasa dalam institusi-institusi pendidikan agama di semua peringkat terutama di luar bandar.


KESEPULUH

Mengenal pasti, memantau, membantu dan memperlengkap usaha-usaha Negara untuk membangunkan taraf ekonomi, taraf pendidikan dan taraf sosioekonomi ummah.


KESEBELAS

Jabatan Agama Islam Negeri hendaklah memahami secara jelas akan maksud dan keperluan penubuhannya. Ia ditubuhkan untuk berfungsi kepada Majlis Agama Islam Negeri dan akauntabiliti Jabatan Agama Islam Negeri adalah berbeza dengan jabatan-jabatan Kerajaan yang lain. Bahawa dari segi rohnya, penubuhan Jabatan Agama Islam Negeri adalah untuk melaksanakan dasar-dasar dan perkara-perkara yang diputuskan oleh Majlis Agama Islam Negeri. Tanggung jawab Jabatan Agama Islam adalah kepada Majlis Agama Islam Negeri dan kepada Raja-Raja Melayu.


KEDUA BELAS

Memaksimumkan kegunaan infrastruktur agama Islam yang sedia ada seperti masjid dan surau, dipelbagaikan aktiviti dan dibangunkan sebagai pusat pembangunan kecemerlangan ummah.


BIDANG EKONOMI


KETIGA BELAS

Kongres bersetuju dilaksanakan cadangan penubuhan Institusi Waqaf Korporat oleh negeri-negeri dan pusat. Satu pasukan untuk meneliti dan menyediakan modul hendaklah ditubuhkan di peringkat negeri dan pusat.


BIDANG PENDIDIKAN


KEEMPAT BELAS

Peranan Lembaga Penyelarasan dan Pembangunan Pendidikan Agama Islam (LEPAI) diperkasa dan dimartabatkan untuk menjadi sebuah Lembaga atau Yayasan bagi menjalankan peranannya secara berkesan dan bekerjasama dengan agensi-agensi Kerajaan yang bertanggungjawab dalam bidang pendidikan.


KELIMA BELAS

Majlis Agama Islam Negeri perlu menubuhkan sekolah Majlis bermula dari peringkat rendah sehingga peringkat menengah tinggi dengan mengguna konsep pendidikan yang syumul.


BIDANG UNDANG-UNDANG


KEENAM BELAS

Memartabat dan memperkasakan sistem perundangan Islam yang meliputi bidang kehakiman, penguatkuasaan dan pendakwaan, selaras dengan Perlembagaan Persekutuan dan pelaksanaan dasar transformasi kerajaan.


KETUJUH BELAS

Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ialah Ketua Agama Islam bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan, Pulau Pinang, Melaka, Sabah dan Sarawak. Oleh itu, dicadangkan satu bentuk sistem pengurusan Majlis Agama Islam Negeri dan Jabatan Agama Islam Negeri yang seragam diwujudkan bagi negeri-negeri berkenaan.


KELAPAN BELAS

Menyokong cadangan untuk menaik taraf Mahkamah Syariah setanding dengan Mahkamah Sivil dan menaik taraf Jawatankuasa Teknikal Undang-Undang Syarak dan Sivil kepada Suruhanjaya Penyelarasan dan Penyeragaman Undang-Undang Syariah yang bertanggung jawab untuk menggubal, menyelaras, dan menyeragamkan Undang-Undang negeri-negeri.


KESEMBILAN BELAS

Bersetuju dengan cadangan penubuhan Suruhanjaya Kedaulatan Agama Negara (SKAN) dan menyegerakan penubuhan Institut Kajian Strategik Islam Malaysia (IKSIM).


KEDUA PULUH

Mempertimbangkan cadangan supaya sebuah Yayasan Kebajikan Keluarga Islam serta penubuhan Pusat Perundingan Keluarga dengan bimbingan pakar-pakar dalam bidang kaunseling dan kemasyarakatan bertujuan untuk mengurangkan krisis rumahtangga.


PENUTUP


Kongres dengan rendah hati memohon perkenan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu sebagai ketua agama dan pelindung Islam dan ummah supaya resolusi-resolusi Kongres Majlis Agama Islam Negeri Seluruh Malaysia ini bukan sahaja untuk disembah maklum, tetapi diperkenankan sebagai suatu persetujuan atau keputusan yang harus dilaksanakan.


Kongres juga bersetuju supaya diadakan sesi bengkel untuk memperhalusi tindakan susulan resolusi ini bagi memastikan segala pandangan dan cadangan dalam kongres ini dapat dilaksanakan secara tersusun oleh pihak-pihak yang berkaitan.


Kuala Lumpur,


27 September 2011.


Penguna ditalian

We have 3 guests and no members online

Hakcipta

Copyright © 2012 Dewan Perdagangan Islam Malaysia. All Rights Reserved.
Joomla! is Free Software released under the GNU General Public License.
Designed by Free Joomla Templates