Kembalikan Darjat Khalifah

Print

Posted On June 25, 2011

Al Islam, Jihad Bisnes, Artikel #8

(Terbitan Julai 2011)

KEMBALIKAN DARJAT KHALIFAH

Oleh Tan Sri Muhammad Ali Hashim 
8 Jun, 2011

Umat Islam di seluruh dunia hari ini semakin meruncing kedudukannya.  Walaupun hampir semua hidup dalam negara yang merdeka, namun majoriti tidak bebas dan berdikari, serta masih lemah dan tertindas. Walau pun ada yang kaya raya, majoriti umat Islam rata-rata miskin dan hampir satu perempat hidup menderita dengan pendapatan seharian per kapita cuma sekitar US$2 sehari. Tanpa pembelaan dan harapan, tidak hairan jika anak-anak muda Islam mudah terpengaruh dengan dakyah songsang dan ganas.

Agama Islam sendiri mengiktiraf hakikat ini menerusi hadis bermaksud: “Kefakiran membawa kepada kekufuran”. Kemiskinan dan ketidakbebasan merata di dunia Islam mengakibatkan umat dan negara Islam lebih terkenal dengan pergolakan dan konfli.  Dan kerana kemiskinan rakyat dan umat di beberapa negara Arab masih ada yang ditindas, dieksploitasi dan dijajah.  Bukan sahaja oleh kuasa asing seperti Israel dan Amerika Syarikat, malah oleh pemerintah dan kerajaan mereka sendiri, khasnya yang tidak mengamalkan sistem pemerintahan demokrasi. Justeru, hampir semua negara Islam di Asia Barat, Asia Tengah dan Asia Selatan kedudukan politiknya semakin bergolak dan terancam kestabilan dan keamanan.

Keadaan ini juga menjadi punca pemberontakan atau revolusi yang tercetus di beberapa negara Arab. Revolusi dan kebangkitan rakyat secara mengejut telah mengenepikan pemerintah autoritarian dan rakus di Mesir, Tunisia dan juga sedang berlarutan di Libya. Keadaan kelihatan bertambah buruk dan kedudukan politik di ketiga negara ini semakin bercelaru dan tidak menentu. Negara Arab lain seperti Yemen, Syria, Algeria dan Baharain, kelihatan telah dijangkiti ‘wabak’ pemberontakan.

Malangnya kebangkitan rakyat di negara seperti Mesir dan Tunisia yang pada mulanya menjanjikan pembaharuan yang bermakna, setakat ini semakin pudar dan menghampakan.  Mungkin kerana ia berlaku terlalu mendadak dan spontan tanpa landasan ideologi pembaharuan besar atau satu ‘visi’ berwibawa. Di beberapa negara Islam lain yang besar jumlah penduduknya, ada yang terjerumus dan terperangkap dalam pergolakan politik dan konflik berdarah.  Paling membimbangkan apabila keadaan di negara-negara seperti Iraq, Pakistan dan Afghanistan, masih tidak menunjukkan tanda akan berakhirnya konflik dan pergolakan.  Paling berbahaya ialah apabila tercetusnya konflik berdarah antara sesama Islam, hatta di masjid-masjid.

Sementara itu, semua negara Islam umumnya terus bergantung atau dependent kepada negara yang lebih maju.  Malangnya pergantungan ini berlaku sekalipun di kalangan negara Islam yang kaya dengan sumber asli seperti minyak dan gas.  Ada antara mereka pula keterlaluan berpaut kepada perlindungan kuasa besar dunia, khasnya Amerika Syarikat, lalu kehilangan jati diri Islam dan kebebasan dalam erti kata sebenar.

Dalam situasi yang sangat mencabar ini, negara Islam yang aman dan tenteram serta pesat pembangunan ekonominya seperti Malaysia, Indonesia dan Turkey yang lebih bebas dan berdikari, perlu bertindak memainkan peranan sewajarnya menunjukkan jalan keluar yang boleh dicontohi oleh negara Islam lain.  Sistem pemerintahan politik demokrasi berteraskan pilihanraya umum yang menghormati suara dan undi bebas semua warganegara teras utama keutuhan Malaysia, Indonesia dan Turkey.

Kegagalan kepimpinan
Pada asasnya, konflik dan pergolakan yang berlaku terbit daripada kegagalan kita menerajui pemerintahan dengan baik. Hal ini membuka ruang mengizinkan campurtangan luar, misalnya oleh negara Barat dengan agenda yang kerap tidak mesra Islam.  Apapun, kita di Malaysia khasnya, masih teruji dan perlu sentiasa berwaspada.  Keadaan ekonomi global yang tidak menentu serta suasana politik dalam dan luar negara mudah sekali berubah mengeruh dan memburukkan keadaan.   Sekalipun kemiskinan mutlak dan tegar dapat diatasi, kemiskinan relatif masih menghantui rakyat.  Tambahan pula dengan tekanan hidup serta cabaran inflasi dan peningkatan kos sara hidup yang semakin mendesak. Matlamat menguasai ekonomi dan melipatgandakan pendapatan rakyat masih lagi dalam proses pelaksanaan.

Paling membimbangkan, trend politik di Malaysia semakin menuju ke arah konflik dalaman yang boleh memecahkan perpaduan umat Islam.  Konflik politik seperti ini boleh menyebabkan kita mudah dijangkiti kuman dan wabak ketidakstabilan dan pergolakan seperti di negara Islam lain.  Jika ini berlaku, seluruh umat Islam dan warga negara Malaysia, akan kehilangan sesuatu yang amat tinggi nilainya, iaitu keamanan, kestabilan dan kesejahteraan yang selama ini dinikmati bersama sejak merdeka.

Keadaan seperti ini mudah sekali berlaku dalam negara seperti Malaysia yang mengamalkan sistem politik demokrasi berparti.  Bibit-bibit perpecahan semakin nyata apabila tiga parti politik besar yang mewakili kepentingan Melayu dan umat Islam, iaitu UMNO, PAS dan PKR berentap dan masing-masing berjuang bermati-matian merebut kuasa.  Dalam keghairahan merebut kuasa pemimpin tertinggi kedua belah pihak (iaitu UMNO dan PAS/PKR) serta juga di akar umbi kerap bertindak dan berhujah keterlaluan yang jelas sekali merosak suasana perpaduan dan memecah belah.

Justeru, bangsa Melayu dan umat Islam di Malaysia perlu bertindak menangani hal ini dengan baik.  Dalam konteks sistem politik demokrasi kepartian tidak ada salahnya dua atau tiga parti yang berbeza sudut pandangan.  Ini penting untuk kita segarkan demokrasi dan memudahkan penentuan agihan kuasa pemerintahan.  Namun, sebagai umat Islam, suasana persaingan dan perebutan kuasa politik sewajarnya berteraskan prinsip fastabiqul khairat, iaitu semua wajib berlumba-lumba dalam mengerjakan kebaikan dan menghasilakan sebanyak manfaat – bukan berusaha menambahkan mudarat dan perpecahan rakyat.

Dilihat dari tindak-tanduk dan luahan artikulasi kepimpinan kedua pihak parti terbabit, saya percaya bangsa Melayu hari ini rata-rata tidak lagi yakin tercapainya perpaduan Melayu dan umat Islam dalam tempoh terdekat.  Sememangnya sistem demokrasi berparti dicorakkan atas landasan secara adversarial atau ‘pembangkangan’ antara satu parti dengan lain.  Malangnya semangat kepartian ekstrem mengakibatkan konflik dan memecah-belahkan bangsa Melayu.

Justeru, bangsa Melayu perlu dengan lebih tegas dan lantang menuntut perpaduan di kalangan umat sebangsa dan seagama.  Sesungguhnya, semua pihak dan parti yang mengaku mewakili kepentingan umat Islam dan bercita-cita memperjuangkan aspirasi Islam wajib meraih undi dan merebut kuasa dengan lebih berhikmah dan bijaksana. Semua pemimpin parti dituntut menggunakan kerusi dan kuasa yang diserah rakyat kepada mereka untuk menjayakan perpaduan ini.

Agenda Politik Khalifah
Perpaduan total merupakan sesuatu yang mustahil dalam sistem demokrasi berparti yang adversarial.   Dengan itu, kita harus mencari pendekatan baru yang boleh menghasilkan kesatuan tindakan untuk kepentingan besar bangsa dan agama, sekalipun berlainan parti.

Justeru, aktivis politik Islam tidak harus lagi diizin dan dibiarkan berkompromi tentang beberapa isu pokok yang wajib dijadikan teras perjuangan semua Muslim.

Isu pokok yang wajib dijadikan teras perjuangan semua perlu didebat, disuara dan disyurakan oleh semua Melayu-Muslim di semua lapisan masyarakat dan umat.  Tujuannya, untuk semua bersependapat mengenai lima atau enam isu besar yang wajib dijadikan sasaran matlamat utama untuk dicapai dalam tempoh musim pilihan raya umum terdekat, PRU13.

Pendekatan ini boleh dilabel sebagai ‘Agenda Politik Khalifah’. Tujuannya, sedikit demi sedikit, umat Islam melangkah ke hadapan menerusi agenda politik sehaluan menterjemahkan nilai Islam dan sistem politik dan ekonomi berteraskan nilai Islam ke dalam kehidupan  bermasyarakat di Malaysia.
Sudah tentu begitu banyak sekali isu besar yang harus diperjuangkan.  Namun, kita perlu pragmatis dan realistik.  Dari segi praktiknya boleh dipermudahkan fokus kita kepada menjayakan Agenda Politik Khalifah berlandaskan lima teras perjuangan seperti berikut:-

  • Menerima pakai budaya politik ‘Khalifah’, dengan pembawaan akhlak tinggi dan mulia di kalangan semua pemimpin dan aktivis politik serta wakil rakyat (langsung menjauhi fitnah-memfitnah dll).
  • Merangsang pertumbuhan ekonomi negara dengan memperkasa
    ekonomi Melayu/umat Islam menerusi gandingan GLC berautonomi bersama usahawan dan PKS berdikari mengikut kaedah market-driven.
  • Menegaskan kewibawaan undang-undang dan ‘rule of law’ dalam semua bidang dan di segala peringkat lapisan masyarakat, bertujuan menolak korupsi dan salah guna kuasa serta menegakkan keadilan.
  • Menolak mana-mana anjuran menyalahgunakan Islam yang memecahbelah, khasnya mana-mana parti atau individu atau kelompok yang bertindak menggunakan masjid dan surau sebagai platform politik.
  • Warga Muslim menggunakan kuasa undi dengan penuh hikmah dan bijaksana, tanpa taksub dan kepartian melampau.  Kuasa undi digunakan semua untuk memilih wakil rakyat yang memperjuangkan politik ‘Khalifah’.  Semua calon wakil rakyat, negeri mahu pun parlimen, dituntut menyatakan pendirian memperjuangkan Agenda Politik Khalifah sebagai manifesto peribadi dengan jelas dan terang sebelum diberi mandat oleh pengundi dan rakyat.

Perpaduan bangsa dan umat menerusi cantuman atau gabungan padat antara parti politik seperti PAS/PKR dan UMNO adalah sesuatu yang kelihatan mustahil berlaku atau tercapai dalam suasana politik semasa.  Namun, jika semua pengundi Muslim bertindak sehaluan dan mensyaratkan gagasan Agenda Politik Khalifah diterima oleh setiap calon (tidak kira dari parti mana), menggunakan kuasa undi mereka dan kemudiannya menentukan Agenda ini benar-benar direalisasikan, saya yakin sekalipun tidak bersatu di bawah satu parti, matlamat besar bangsa dan umat akan dapat dinikmati semua, insya Allah sekurang-kurangnya dalam beberapa perkara teras.

Kesimpulannya, yang penting bukan lagi perpaduan aktivis politik dan parti masing-masing.  Yang menentukan tercapainya matlamat besar bangsa dan umat ialah azam dan istiqamah pengundi Melayu-Muslim yang tidak harus terlalu taksub kepada satu-satu parti, tetapi mengutamakan mandat diberi kepada mana-mana calon yang bersedia memperjuangkan Agenda Politik Khalifah.

 

Penguna ditalian

We have 7 guests and no members online

Hakcipta

Copyright © 2012 Dewan Perdagangan Islam Malaysia. All Rights Reserved.
Joomla! is Free Software released under the GNU General Public License.
Designed by Free Joomla Templates