Info Halal
Konsep Halal & Toyyiban merangkumi
pematuhan kepada undang-undang
Syariah dan keperluan kepada produk yang
baik. Pengguna kini lebih peka dan prihatin terhadap keselamatan, kualiti, komposisi dan pengesahan produk dan perkhidmatan yang digunakan.
Baru-baru ini negara dikejutkan dengan
persoalan sejauh mana ayam yang diternak di Malaysia bebas daripada diberi
makanan mengandungi enzim tidak halal
terutamanya babi. Berikutan dengan itu,
JAKIM telah menubuhkan Jawatankuasa
Tindakan Khas Mengenai Isu Enzim Babi
Dalam Makanan Ayam September lalu yang
dianggotai oleh Jabatan Perkhidmatan
Haiwan, JAKIM, USM, Jabatan Kimia,
Kementerian Kesihatan dan Institut
Penyelidikan Produk Halal (IPPH). IPPH
juga telah diberi kepercayaan untuk mempengerusikan Jawatankuasa Khas ini.
Makmal-makmal yang menganggotai
Jawatankuasa Khas ini sedang giat
menjalankan analisis untuk mengenalpasti
kehadiran bahan dari sumber babi dalam
makanan ayam dan sampel daging ayam
sebagaimana yang didakwa.
Dalam pada itu, merealisasikan kedudukannya sebagai pusat rujukan terunggul
dalam bidang yang berkaitan dengan
produk halal dan seterusnya menyokong
usaha kerajaan dalam rancangan Malaysia
ke – 9, IPPH akan memberi penekanan
pada teras strategik Pelan Induk Perindustrian ke-3 (IMP3) dan memberikan suntikan usaha meningkatkan R&D dalam
pembangunan produk dan proses termasuk
menyelidik dan membangunkan teknik-
teknik baru untuk pengesahan produk
halal.Perancangan halatuju IPPH digarap
sejajar dengan pengiktirafan kepada UPM
sebagai Universiti Penyelidikan dan juga
IMP3. Malaysia dijangka akan menjadi
pusat produksi dan pengedaran produk
dan perkhidmatan halal, rujukan Standard Halal dan juga R&D berkaitan halal.
Perbadanan Pembangunan Industri Halal
(HDC) yang baru ditubuhkan pula telah
melantik IPPH sebagai jururunding untuk
membangunkan modul latihan Refresher
Course for Halal Consultants yang akan
ditawarkan mulai Jun 2008.
Dalam perkembangan terbaru, JAKIM dan
HDC juga akan menandatangani MoU
dengan IPPH untuk menjalinkan kerjasama
dalam bidang berkaitan halal. Selain itu,
IPPH juga membantu pihak berkuasa
terbabit dalam proses pensijilan halal dan
formulasi polisi dan pengurusan produk
halal.
Diharap Info Halal ini dapat dijadikan
wadah untuk menyampaikan informasi dan
juga untuk membuka jalinan kerjasama
dengan semua pihak yang prihatin terhadap kepentingan dan pembangunan industri halal khususnya.
Sekian, terima kasih.
Wassalam.



