Tranformasi Ekonomi Ummat

Print

 

 

BARU-BARU ini, satu Kongres yang menempa sejarah diadakan di Kuala Lumpur anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), dengan perkenan Persidangan Majlis Raja-Raja.

 

Fokus kongres yang julung kali diadakan adalah transformasi ummah dengan Majlis Agama Islam Negeri-Negeri (MAIN) di Malaysia sebagai pemacunya. Ia bertujuan menilai semula dan memperbaharui peranan MAIN dan meningkatkan impak MAIN dalam sistem pemerintahan negara, khasnya mengambil kira status istimewa agama Islam dalam sejarah pembentukan negara dan Perlembagaan Malaysia.

 

Kongres ini juga luar biasa kerana pelancarannya disempurnakan oleh Yang di-Pertuan Agong dengan keberangkatan beberapa Raja-Raja Melayu dan wakil-wakil Raja.

 

Sewajarnya Kongres diperkenan perasmiannya oleh Yang di-Pertuan Agong kerana kedudukan Baginda, seperti yang dinyatakan dalam Titah Diraja yang disampaikan oleh Pemangku Raja Perak, Raja Nazrin Shah: “Selaku Ketua Agama negara untuk memelihara kesucian agama Islam pada setiap masa” yang juga merupakan “tanggungjawab penting” yang “didukung bersama oleh sembilan Raja Melayu di negeri-negeri.”

 

Titah Diraja yang disampaikan oleh Pemangku Raja Perak itu turut menegaskan betapa dari sejak awal sejarah “risalah Islam membawa impak besar kepada jiwa dan minda masyarakat Melayu… mengisi kandungan rohani, begitu serasi - begitu sebati dengan jiwa dan budaya Melayu…", langsung menjadi tenaga terkuat yang mencorakkan kepercayaan, nilai dan sikap masyarakat,”.

 

Baginda seterusnya menegaskan, berdasarkan konsepsi Islam, "…Raja hanya bertaraf wakil atau khalifah di bumi dengan sifat-sifat kemanusiaan. Kuasa Raja disandarkan dengan hukum kerana Raja juga tidak boleh mengingkari tuntutan syarak. Kemuliaan Raja dinilai dari sudut amal makruf Baginda menyempurnakan tanggungjawab, lantas menginsafkan Raja bahawa kuasa pemerintahan adalah satu amanah Ilahi yang sama sekali tidak boleh disalahgunakan,”.

 

Politik berpatah arang berkerat rotan

Selanjutnya, Raja Nazrin Shah turut menegaskan Islam dan Melayu sebagai “tunggak utama Tanah Melayu” dengan menyusur kembali sejarah penubuhan pemerintahan serta urutan pembentukan Perlembagaan negara.

 

Konteks urutan sejarah Perlembagaan ini penting difahami semua kerana hari ini terdapat kecenderungan mempersoal peruntukan Perlembagaan yang menyentuh beberapa keistimewaan dalam Perlembagaan negara.

 

Baginda mengingatkan, lebih berbahaya “jika prinsip asas agama diredakan untuk dijadikan bahan tolak ansur politik.” Baginda juga menzahirkan kebimbangan “Islam telah mula dijadikan instrumen bertujuan meraih pengaruh dan mendapatkan kuasa, sehingga ke peringkat sedia berkompromi kepada perkara-perkara prinsip menyentuh akidah.”

 

Antara titah Baginda yang mendapat perhatian: “Raja-Raja Melayu sangat prihatin terhadap masalah perpaduan ummah di hari ini. Ummah kelihatan berada dalam babak yang begitu taksub untuk menang ‘sorak’ tanpa memikirkan kampung lamannya mungkin tergadai.

 

Raja-raja sedang memerhatikan pendirian taksub kepimpinan politik di kalangan ummah, memilih untuk berpatah arang berkerat rotan, bergembira melihat yang kalah menjadi abu dan berpuas hati walaupun yang menang akan menjadi puntung-puntung arang…"

 

Transformasi ekonomi ummah

Selepas Titah Diraja berjaya menyuntik nafas baru, kongres kemudiannya menumpukan perhatian kepada tiga sektor utama, iaitu ekonomi, pendidikan dan perundangan Islam yang membabitkan tokoh-tokoh besar negara di bidang masing-masing. Banyak isu besar dan penting dibicarakan. Dalam ruang yang terhad penulisan ini hanya dapat menumpukan perhatian kepada isu ekonomi.

 

Saya bersyukur kerana diberi kesempatan membentang salah satu kertas ekonomi di bawah tajuk: “Wakaf Korporat Memperkasa Ekonomi Ummah”. Dua pembentang lain ialah Datuk Nik Mustapha Nik Hassan, Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) dan Datuk Mustafa Abdul Rahman, Pengerusi, Pusat Pungutan Zakat, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan.

 

Mustafa menekankan potensi peranan institusi zakat dan kaedah meningkatkan keupayaan dan prestasi pengurusan zakat di peringkat negeri dengan mengamalkan pendekatan pengurusan terkini. Pengalaman Pusat Pungutan Zakat Wilayah Persekutuan dijadikan rujukan untuk dikongsi bersama.

 

Nik Mustapha pula, antara lain, menegaskan bagaimana sistem ekonomi kapitalis global yang didominasi Barat kelihatan semakin lemah, setelah berlaku banyak kerosakan dan mengakibatkan masalah ekonomi dan ketidakadilan serta ketidakstabilan sosial termasuk di Barat sendiri.

 

Sistem ini kelihatan semakin tidak disenangi dan mendapat tentangan ramai. Tanda-tanda nyata juga menunjuk ke arah ketidaklestarian sistem, khasnya dalam bentuk dan corak yang dipraktikkan dalam lingkungan ideologi kapitalisme liberal. Justeru, keupayaan kelangsungan sistem semakin diragui, dan dalam hal ini umat Islam berpeluang besar menyumbang kepada pembaharuan sistem ekonomi global mengikut acuan Islam.

 

Dalam pembentangan kertas kerja saya mengutarakan Wakaf Korporat sebagai satu inovasi institusi Islam yang berupaya menggabung kekuatan korporat dengan ketahanan wakaf untuk membasmi kemiskinan, menjana nilai ekonomi dan menghimpun harta kekayaan. Wakaf Korporat juga berupaya mengatasi kebocoran hak milik bisnes Muslim dan boleh menjadi dasar alternatif penswastaan, iaitu mengikut kaedah Islam yang menjamin kelangsungan hak milik, insya Allah, sampai kiamat.

 

Pada jangka panjang, setelah diamalkan secara meluas, institusi ini berupaya memperkasa ekonomi ummah di samping menegakkan keadilan dan membasmi kezaliman ekonomi. Institusi yang berteraskan amanah serta pro bisnes dan pro pasaran ini berpotensi menggantikan amalan kapitalis Barat yang kerap tidak prihatin, sebaliknya menggalakkan kerakusan dan keserakahan sistem, menjadikannya greed-driven - iaitu punca utama kerosakan kehidupan dunia hari ini.

 

Dalam pembentangan saya juga menekankan betapa Waqaf Korporat bukan satu teori atas kertas atau satu slogan kosong. Pengalaman Wakaf An Nur Corporation Bhd (WANCorp) yang dibentuk oleh Johor Corporation dengan persefahaman dan kerjasama penuh Majlis Agama Islam Negeri Johor diketengahkan sebagai bukti nyata bagaimana inovasi institusi Wakaf Korporat ini boleh dibina dan dijayakan.

 

Antara bukti kejayaannya adalah nilai harta wakaf yang semakin meningkat. WANCorp bermula pada 3 Ogos, 2006, dengan pewakafan sebahagian saham syarikat tersenarai (PLC) milik JCorp dengan nilai RM200 juta. Nilai saham PLC yang diwakafkan ini dapat dilipatgandakan sehingga melebihi RM430 juta di akhir 2010 setelah pasaran saham Malaysia meningkat naik dalam tempoh sama.

 

Selain itu, pembahagian manfaat hasil dividen daripada saham PLC yang diwakaf juga boleh menyumbang kepada perkembangan jangka panjang harta Wakaf Korporat setelah 70 peratus dilabur semula menurut syarat hujah wakaf.

 

Selebihnya, iaitu 25 peratus diagih untuk manfaat fisabilillah dan amal kebajikan, sementara 5 peratus lagi diserah kepada Majlis Agama Islam Negeri Johor. Peluang dan kesempatan juga terbuka luas untuk membuktikan kesucian, kebesaran dan kemuliaan Islam dengan menentukan manfaat amal kebajikan turut membantu meringankan beban golongan miskin dan daif dalam kalangan warga bukan Muslim.

 

Saya amat bersyukur kerana di akhir sidang Kongres menerima resolusi supaya Kerajaan Persekutuan dan Majlis Agama Islam Negeri-negeri menubuhkan Wakaf Korporat nasional di peringkat Persekutuan dan Wakaf Korporat negeri di peringkat negeri masing-masing.

 

Wakaf Korporat untuk transformasi ekonomi

Jelas sekali andainya kejayaan WANCorp dapat di cambah di peringkat nasional dan di negeri-negeri, institusi Wakaf Korporat berupaya memperkasa ekonomi di samping mempertahan dan melindungi kepentingan jangka panjang ummah, selain menyumbang kepada pertambahan nilai dan pertumbuhan ekonomi negara.

 

Bayangkan tidak mustahil satu hari nanti, andainya umat Islam bersatu tekad menghimpun sumber dan daya ummah global, mereka akan berupaya mengambil alih dan menerajui syarikat MNC global (seumpama KFC milik Amerika Syarikat - mengawal bisnes global menguntungkan dan kemudiannya menghalalkan makanan KFC di seluruh dunia!)

 

Sesungguhnya sistem ekonomi global hari ini semakin tidak menentu, menjadikan seluruh kehidupan manusia dunia terancam dan menantikan pembaharuan menyeluruh. Dalam senario bergolak hari ini, pembaharuan institusi sangat penting dan kaedah yang diperkenalkan seperti menerusi Wakaf Korporat berpotensi memainkan peranan transformasi besar. Hal ini perlu diberi perhatian oleh dunia Islam, terutama di negara-negara Arab dan Asia Barat yang sedang dilanda tsunami transformasi dan revolusi.

 

Jelas sekali, revolusi di negara-negara seperti Tunisia, Mesir dan Libya dicetus oleh tindakan menolak korupsi, kronisme, kerakusan serta bersekongkolan kuasa golongan elit pemerintah dengan kepentingan sempit korporat swasta, akibat penciplakan sistem kapitalis liberal Barat. Setelah revolusi terlaksana, rakyat terbabit pasti menantikan pembaharuan sistem supaya lebih Islamik, adil, seimbang dan saksama.

 

Dalam urusan ini pengenalan institusi baharu sangat penting. Dipercayai prinsip asas ekonomi Islam yang mensifatkan harta kekayaan sebagai amanah Allah SWT wajib diterjemahkan menjadi realiti. Ideologi Jihad Bisnes dan institusi Wakaf Korporat adalah pembaharuan yang berteraskan prinsip menegakkan Kalimah Allah dan menjadikan hak milik harta kekayaan sebagai amanah. Justeru, kedua-duanya berpotensi membawa impak positif untuk disambut baik oleh ummah.

 

Kesimpulannya, Wakaf Korporat adalah satu kaedah yang berupaya membawa pembaharuan menyeluruh dan transformasi bermakna khasnya bagi umat Islam di Malaysia.

 

Tiba masanya umat Islam memperkasa ekonomi dengan menguasai bisnes (kerana sembilan per sepuluh sumber rezeki berpunca dari bisnes). Sekali gus perpaduan dan kebulatan ummah boleh dipupuk dengan mewakafkan hak milik harta kekayaan sebagai amanah dan memperjuangkan keadilan.

 

Mereka juga wajib segera mengguna kekuatan organisasi bisnes dan korporat, mengadaptasikannya supaya serasi dengan nilai dan kaedah Islam. Satu pilihan adalah dengan mewakafkan sebahagian hak milik bisnes strategik di bawah pegangan institusi kepentingan awam seumpama syarikat milik kerajaan (GLC), kepada sebuah badan Wakaf Korporat Nasional.

 

Menerusi kaedah ini, usaha dapat dimulakan untuk mentransformasi sistem ekonomi global dan mentamadunkan semula kehidupan manusia di dunia mengikut acuan Islam, iaitu merealisasikan tuntutan Allah SWT yang telah menurunkan agama Islam “sebagai rahmat kepada sekalian alam”.

 

Penguna ditalian

We have 11 guests and no members online

Hakcipta

Copyright © 2012 Dewan Perdagangan Islam Malaysia. All Rights Reserved.
Joomla! is Free Software released under the GNU General Public License.
Designed by Free Joomla Templates