Articles

World Of Halal Science Industry & Business (WHASIB)

Print

World Of Halal Science Industry & Business (WHASIB)
IMT-GT Halal Product Expo 2011
27 & 28 July 2011
Songkla, Thailand

Persidangan ini diadakan bertujuan untuk menghubungkan di antara sains dan teknologi halal dengan usahawan-usahawan atau individu yang terlibat di dalam bidang perniagaan industri halal. Pengenalan mengenai ”Halal Open Source Technology (HOST)” dan ”Shariah-compliant ICT Logistics Kontrol (SILK)” juga akan dibentangkan kepada para peserta.

Untuk melihat gambar lain sila lawati http://dpim.com.my/v2/index.php/en/galeri

Petikan Akhbar Utusan Malaysia, 3hb Ogos 2011

Petikan Akhbar Utusan Malaysia, 29hb Julai 2011

Petikan Akhbar Utusan Malaysia, 28hb Julai 2011

 

 

Utusan, 28hb Julai 2011

HAT YAI 27 Julai - Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM) akan meningkatkan lagi kerjasama dengan Thailand khususnya dalam industri halal berikutan negara berkenaan lebih terkehadapan berbanding Malaysia dalam bidang berkenaan.

 

Naib Presiden 1 DPIM, Datuk Dr. Abd. Latiff Awang berkata, Thailand sudah menubuhkan makmal khusus yang dilengkapi teknologi canggih bagi membolehkan sijil pengesahan halal dikeluarkan dengan lebih pantas berbanding proses di Malaysia yang kini mengambil masa sehingga setahun berikutan tiada kemudahan serupa.

 

Beliau berkata, negara itu juga telah menubuhkan Pusat Sains Halal di Universiti Chulalongkorn yang kini menjadi pusat rujukan utama syarikat dari negara itu dan asing termasuk dari Jepun yang berminat mendapatkan sijil halal.

''Berdasarkan lawatan terbaharu yang kita lakukan ke wilayah selatan negara berkenaan dan juga semasa kunjungan ke Bangkok pada September 2010 kita mendapati Thailand lebih terkehadapan tiga hingga empat tahun dalam aspek pengeluaran sijil halal dan industri halal berbanding Malaysia," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri sesi taklimat mengenai Kawasan Perindustrian Wilayah Selatan oleh Pengarahnya, Chuchart Taothampitak di Hat Yai di sini hari ini.

Abd. Latiff bersama-sama sembilan delegasi DPIM sedang dalam rangka lawatan empat hari ke wilayah Songkhla dan Satun di selatan Thailand yang bersempadan dengan Perlis dan Kedah bagi meninjau kerjasama perniagaan dalam industri halal.

Walaupun Thailand bukan sebuah negara Islam, katanya, kerajaan negara itu bersungguh-sungguh untuk memastikan semua syarikatnya memperoleh sijil halal kerana ia akan membolehkan mereka mengeksport produk ke negara yang mempunyai majoriti penduduk Muslim.

Thailand kini tersenarai dalam kelompok enam negara pengeksport utama produk halal dunia manakala Malaysia tidak termasuk dalam senarai berkenaan.

Dalam pada itu, ujarnya, ahli-ahli DPIM dan lain-lain usahawan yang berminat untuk menceburi industri halal di Thailand boleh menghubungi dewan itu bagi mendapatkan khidmat nasihat.

''DPIM mempunyai hubungan baik dengan syarikat yang terbabit dalam industri halal di negara berkenaan. Syarikat ini berminat mengadakan kerjasama dengan usahawan Malaysia bagi membolehkan mereka turut sama menerima sijil pengesahan halal yang dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

''Kita juga mendapat kerjasama baik daripada Duta Besar Thailand ke Malaysia, Thana Duangratana yang telah bersetuju meluangkan masa bagi menyertai delegasi DPIM ke Bangkok, Songkhla dan Satun serta menaja semua kos perbelanjaan," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau menggesa kerajaan, supaya menyediakan dana khusus bagi membantu kira-kira 7,000 ahli DPIM menceburi industri halal di peringkat tempatan, rantau Asia Tenggara dan antarabangsa.

''Kekangan utama yang dihadapi oleh ahli-ahli DPIM sehingga menjejaskan usaha memperkembangkan perniagaan adalah berikutan keengganan pihak bank memberikan pinjaman dan jika diluluskan pun jumlahnya terlalu sedikit," jelasnya. - UTUSAN

Utusan, 29hb Julai 2011

HAT YAI 28 Julai - Tanggapan bahawa Malaysia dilihat sebagai jauh ketinggalan berbanding Thailand dalam membangunkan industri halal adalah tidak tepat.

Pengurus Besar Infrastruktur, Pelaburan, Kluster Ternakan dan Perkhidmatan Sokongan Industri, Halal Industry Development Corporation (HDC), Dr. Nor Azman Ngah berkata, secara keseluruhan Malaysia masih lagi berada di hadapan dalam memperkenalkan produk halal baharu dan mempercepatkan proses pengeluaran sijil halal.

''Malaysia diiktiraf kerana telah melakukan penyelidikan bagi menghasilkan produk halal alternatif termasuk dalam memperkenalkan gelatin daripada sumber tumbuh-tumbuhan sebagai gantian kepada sumber haiwan.

''Walaupun pihak Thailand dikatakan semakin maju apabila memperkenalkan kaedah pendaftaran dan pengesahan sijil halal menggunakan Internet sepenuhnya, ia sebenarnya sudah pun dilaksanakan oleh pihak kita," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Persidangan Antarabangsa Perniagaan, Industri dan Sains Halal Sedunia (Whasib) 20011 di Universiti Prince of Songkhla di sini hari ini.

Turut menjadi peserta ialah 10 delegasi daripada Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM) yang diketuai oleh Naib Presiden 1, Datuk Dr. Abd. Latiff Awang.

Menurut Nor Azman, wujud persaingan antara kedua-dua negara dalam membangunkan industri halal dengan Malaysia diterajui oleh agensi kerajaan seperti HDC manakala di Thailand ia dipelopori pihak universiti terutamanya Universiti Chulalongkorn di Bangkok dan Universiti Prince of Songkhla di Hat Yai.

Dalam pada itu, beliau mengakui, wujud beberapa kelemahan yang harus diatasi antaranya, kajian terbaharu universiti tempatan yang boleh memanfaatkan industri halal di Malaysia lambat untuk dikomersialkan berbanding dengan Thailand.

Sementara itu, Setiausaha Agung ASEAN, Dr. Surin Pitsuwan ketika berucap merasmikan persidangan berkenaan berkata, negara-negara Asia Tenggara harus bekerjasama bagi memastikan sasaran menjadikan rantau itu sebagai pengeksport produk halal terbesar dunia tercapai.

''Kita harus sedar negara pengeluar minyak dan gas seperti di Asia Barat mempunyai wang yang banyak tetapi mereka tidak berupaya menghasilkan produk halal mencukupi, jadi mereka mengharapkan untuk membeli daripada kita.

''Produk halal yang kita keluarkan bukan sahaja sesuai untuk kegunaan 1.5 bilion umat Islam, sebaliknya produk yang bersih, berzat dan baik untuk dimakan ini juga bermanfaat untuk seluruh penduduk dunia yang berjumlah enam bilion orang," ujarnya.

Katanya, negara-negara ASEAN tidak rugi untuk meningkatkan pengeluaran produk halal khususnya makanan kerana ia mampu menghasilkan pulangan lumayan dengan anggaran nilai sebanyak AS$2.5 trilion (RM7.5 trilion) setahun. - UTUSAN

 

Utusan, 3hb Ogos 2011

INDUSTRI halal dunia kini dianggarkan bernilai lebih AS$2 trilion setahun. Dengan jumlah yang sebegitu besar, ia sudah tentu dapat menghasilkan pulangan lumayan kepada mana-mana negara atau syarikat yang berkecimpung secara serius bagi menghasilkan produk berstatus sedemikian.

Menyedari hakikat itu, Thailand turut mengambil langkah agresif untuk memastikan produk yang dikeluarkan syarikat negara berkenaan adalah halal selaras dengan kedudukannya sebagai pengeksport produk makanan halal yang keenam terbesar di dunia dengan pendapatan sebanyak AS$5 bilion setahun.

Daripada 30,000 kilang mengeluarkan makanan halal yang terdapat di negara itu sekarang, sebanyak 8,000 telah mendapat sijil pengesahan halal.

Negara itu kini sedang meningkatkan bilangan syarikat yang mendapat sijil halal bagi memastikan ia mencapai sasaran menjadi negara pengeksport produk makanan halal ketiga terbesar di dunia selepas Brazil dan Amerika Syarikat (AS) dalam tempoh beberapa tahun lagi.

Selain bagi membolehkan produk berkenaan dijual kepada 1.5 bilion umat Islam, kerajaan Thailand berharap barangan berstatus halal yang sentiasa diyakini sebagai produk yang bersih, berzat dan baik untuk kegunaan manusia akan menarik minat seluruh penduduk dunia yang berjumlah kira-kira tujuh bilion orang untuk menggunakannya.

Produk dan perkhidmatan halal yang sedang dipromosikan oleh negara itu bukan hanya terhad kepada makanan dan minuman sahaja, malah ia turut melibatkan kosmetik, ubat-ubatan, bahan kimia, barangan kulit, rawatan spa, perhotelan, hospital, perbankan dan takaful Islam.

Kesungguhan negara jiran itu terbukti apabila ia menubuhkan Pusat Sains Halal di Universiti Chulalongkorn (HSC-CU), Bangkok pada 1995 dan Institut Halal di Universiti Prince of Songkhla, beberapa tahun selepas itu.

Menurut Pengarah HSC-CU, Dr. Winai Dahlan, penubuhan pusat dan institut halal berkenaan telah membolehkan Thailand melakukan pelbagai inovasi baru termasuk menghasilkan sabun dan cecair pencuci daripada tanah liat untuk memudahkan proses menyamak.

Beliau berkata, pihaknya turut mencipta dapur khusus yang mempunyai zon penampan bagi mengasingkan antara produk halal dan haram yang telah digunakan secara meluas termasuk ketika Sukan SEA 2007 di Korat, Thailand.

"Pakar-pakar daripada kedua-dua universiti turut terlibat memberikan latihan kepada petugas Thai Airways dan kakitangan sektor perkilangan di negara ini mengenai kaedah betul bagi memastikan produk yang dihasilkan adalah halal," katanya.

Terbaru, jelas beliau, ia melibatkan penciptaan sistem logistik dan pengesahan halal menggunakan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) yang dikenali dengan nama Shariah-Compliant ICT Logistics Control (SILK).

''SILK yang boleh diakses secara percuma menggunakan kemudahan Internet berkelajuan tinggi membolehkan syarikat di seluruh dunia membuat permohonan sijil halal. Bakal pembeli juga boleh menyemak status halal sesuatu barangan dengan pantas," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan kertas kerja pada Persidangan Antarabangsa Perniagaan, Industri dan Sains Halal Sedunia (Whasib) 2011 di Universiti Prince of Songkhla, Hat Yai pada 27 Julai lalu.

Persidangan sehari berkenaan telah dirasmikan oleh Setiausaha Agung ASEAN, Dr. Surin Pitsuwan.

Bekas Menteri Luar Thailand yang beragama Islam itu dalam ucapan perasmiannya menyeru negara-negara Asia Tenggara supaya bekerjasama bagi memastikan sasaran menjadikan rantau itu pengeksport produk halal terbesar dunia tercapai.

Mengulas mengenai kesungguhan pihak Thailand itu, Naib Presiden 1, Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM), Datuk Dr. Abd. Latiff Awang yang berkesempatan menjadi peserta Whasib 2011 berkata, selain peranan yang dimainkan oleh pihak universiti, kerajaan Thailand juga terlibat aktif dalam mempromosi industri halal.

Beliau berkata, perkara itu terbukti apabila ramai usahawan Malaysia termasuk 10 delegasi DPIM telah ditaja kerajaan negara itu untuk menyertai persidangan halal berkenaan dengan harapan akan terjalin kerjasama erat antara peniaga kedua-dua negara.

''Kita kagum kerana Duta Besar Thailand ke Malaysia, Thana Duangratana dan dua pegawai kanan daripada kedutaan berkenaan iaitu Makawadee Sumitmor dan Montri Nathananan turut meluangkan masa untuk mengiringi delegasi Malaysia," katanya.

Kekaguman yang diluahkan oleh Abd. Latiff memang berasas jika dilihat kesungguhan Duangratana, 60, yang sanggup turun padang untuk menjelajah wilayah yang mempunyai ramai penduduk Islam iaitu Songkhla dan Satun yang bersempadan dengan Kedah dan Perlis selama empat hari.

Selain menyertai Whasib 2011, delegasi yang turut disertai Setiausaha Agung DPIM, Mohammad Sahar Mat Din dan Penasihat Syariah KFC Holdings (Malaysia) Bhd., Mohd. Roslan Mohd. Saludin turut dibawa melawat Kawasan Perindustrian Wilayah Selatan di Wilayah Songkhla.

Duangratana yang bertindak sebagai penterjemah turut membawa rombongan berkenaan bertemu dengan Gabenor Satun, Dr. Sumeth Chailertvanitkul dan melawat ladang kambing yang diusahakan usahawan Muslim di wilayah berkenaan.

''Saya berharap diplomat Malaysia mencontohi rakan sejawatan mereka yang bukan beragama Islam yang sanggup turun ke bawah bagi membawa pelabur berpotensi untuk melabur dalam industri halal di negara berkenaan.

''Jika kita terus leka, tidak mustahil Malaysia akan ketinggalan dalam industri ini terutama jika pegawai atasan yang dilantik oleh kerajaan tidak bekerja bersungguh-sungguh," ujarnya.

Nasihat yang diberikan Abd. Latiff yang juga bekas Exco kerajaan negeri Terengganu memang kena pada masanya berikutan tidak ramai peneraju agensi yang berkecimpung dalam industri halal di Malaysia menghadiri Whasib 2011, sedangkan banyak inovasi baru yang dihasilkan Thailand yang boleh dicontohi mereka.

 

Penguna ditalian

We have 4 guests and no members online

Hakcipta

Copyright © 2012 Dewan Perdagangan Islam Malaysia. All Rights Reserved.
Joomla! is Free Software released under the GNU General Public License.
Designed by Free Joomla Templates