Majlis Pelancaran "RAKAN JIHAD BISNES" Peringkat Kebangsaan
1. 28 Januari 2012, Hotel Laman Seri, Sekyen 13, Shah Alam.
Ibu Pejabat DPIM dengan kerjasama DPIM Johor telah menganjurkan satu program dipanggil “Rakan Jihad Bisnes”(RJB) yang mana ia adalah satu program organisasi rangkaian bisnes sesama ahli, yang bersistematik dan berstruktur. Ia menggabungkan konsep jemaah, semangat tolong menolong, disiplin dan urusniaga yang menepati syariah (Yadul Ulya & Qhardul Hasan). Program yang telah berjalan selama kira-kira 86 minggu di bawah naungan DPIM Johor telah berjaya menjana urusniaga bernilai RM15 juta di kalangan para perserta.
Program yang telah diadakan di Hotel Laman Seri ini telah dihadiri seramai 80 orang ahli DPIM yang menggabungkan wakil-wakil DPIM negeri-negeri seluruh Malaysia yang juga telah disempurnakan serta dirasmikan oleh YBhg Tan Sri Muhammad Ali Hashim Timbalan Presiden DPIM merangkap Pengerusi DPIM Johor. Manakala sessi taklimat telah disampaikan oleh Timbalan Pengerusi DPIM Johor, En Saypol Anwar Mohd Aini disusuli dengan sessi simulasi yang turut disertai oleh 20 orang perwakilan DPIM Johor.
Waqaf: Penjana Pembangunan
Wakaf: Penjana pembangunan umat
![]() |
DIRIWAYATKAN oleh At-Thabrani akan sabda Junjungan Besar, Nabi Muhammad Sallallahu Alai Wassalam bahawa pada akhir zaman kelak, manusia harus menyediakan harta untuk menegakkan urusan agama dan urusan dunia.
Sabda tersebut adalah peringatan amat penting. Peringatan yang wajib dijadikan panduan dalam merangka program membangunkan ummah.
Penguasaan harta dan kekayaan adalah sebahagian daripada ajaran yang dianjurkan oleh Islam asalkan cara membina kekayaan itu menepati keperluan syarak.
Malah sabda tersebut memberikan peringatan bahawa menyediakan harta itu adalah salah satu prasyarat untuk membina ummah yang kuat, dinamik, dihormati dan disegani.
Hari ini, bukan tidak ada negara Islam yang kaya; hari ini, bukan tidak ada individu Islam yang kaya. Realitinya, hari ini, terdapat negara Islam yang dilimpahkan dengan pelbagai sumber kekayaan, dan hari ini terdapat individu Islam secara peribadi yang memiliki kekayaan.
Namun kekayaan kurniaan Ilahi itu masih belum berupaya membolehkan negara-negara Islam mencapai martabat untuk dikategorikan telah mencapai status negara maju; sementara kekayaan umat Islam, begitu tertumpu pada bilangan kecil keluarga dan individu tertentu, tanpa taburan yang lebih saksama, meletakkan ummah secara menyeluruh, masih berada di persisiran dalam gelombang pembangunan global.
Malah berlakunya ironi, bahawa terdapat peratusan tinggi ummah yang miskin dalam negara yang dirahmati dengan pelbagai sumber kekayaan.
Sementara itu, individu yang mendapat nikmat kekayaan, leka mengamalkan budaya bermewah-mewah dan budaya bermegah-megah, budaya tidak produktif, budaya yang mencerminkan pembaziran; keadaan yang berlaku ini amat bercanggah dengan semangat dan pengajaran yang terkandung dalam ayat 7 surah 59, (Al-Hasyr) bermaksud:
" Apa saja harta rampasan yang diberikan Allah kepada Rasul Nya yang berasal dari penduduk kota-kota maka adalah untuk Allah, Rasul, kerabat Rasul, anak-anak yatim, orang-orang miskin dan orang-orang dalam perjalanan, supaya harta itu jangan hanya beredar di antara orang-orang kaya saja di antara kamu......"
Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang diperkenalkan di negara ini bertujuan murni, dalam semangat mahu mengimbangkan agihan ekuiti di kalangan ummah. Kongres Ekonomi Islam Kedua dianjurkan dalam 1972, berlangsung ketika DEB, baru diperkenalkan. Antara resolusi yang dirumuskan oleh Kongres Ekonomi Islam Kedua adalah hasrat mahu menyamakan kedudukan ekonomi umat Islam dengan bukan Islam.
Kongres tersebut telah memohon agar Majlis Raja-Raja dan Majlis Agama Islam melakukan kajian mengenai segala hukum Islam dan menolak fahaman salah yang boleh menghalang kemajuan umat Islam di bidang ekonomi. Nyatalah kesedaran akan pentingnya diperkukuhkan ekonomi ummah telah lama berakar.
Kesedaran akan pentingnya diimbangkan pemilikan sumber kekayaan di kalangan ummah senantiasa diberikan perhatian oleh Raja-Raja Melayu. Semasa berlangsungnya Mesyuarat Raja-Raja pada 24 Mei 1950, Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja menzahirkan pandangan terhadap impak dari segi pemilikan tanah terhadap orang-orang Melayu, susulan kepada program Penempatan Semula di bawah Rancangan Briggs.
Dalam semangat tanggungjawab melindungi kepentingan ummah, ketika menurunkan tandatangan persetujuan pembentukan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu pada 5 Ogos 1957, Raja-Raja Melayu telah menggariskan tujuh wasiat.
Raja-Raja Melayu amat menyedari bahawa kestabilan dan keharmonian hidup di bumi ini akan terancam jika kelemahan taraf ekonomi umat Melayu tidak diberikan pembelaan sewajarnya. Semangat untuk menjamin berlakunya perimbangan milik ekuiti di kalangan umat Melayu dicerminkan melalui kata-kata yang terkandung dalam wasiat kedua yang berbunyi:
"Kami isytiharkan dan kami simpan untuk kamu dan kami benarkan kamu isytihar dan simpan untuk anak cucu kamu, selain gunung-ganang, tasik dan hutan simpan, TANAH SIMPANAN MELAYU sehingga nisbah 50 peratus, selebihnya kamu rebutlah bersama-sama kaum lain.
Matlamat murni untuk memperimbangkan agihan ekuiti secara saksama yang terkandung di dalam DEB adalah selaras dengan semangat yang terkandung di dalam wasiat Raja-Raja Melayu.
Banyak contoh pencapaian kejayaan melalui dasar tersebut yang tidak adil untuk dinafikan, terutama dari segi membina modal insan profesional, dari segi menambah kumpulan menengah Melayu dan bumiputera.
Ramai yang berada di dewan seminar ini adalah antara produk yang dihasilkan melalui program pembangunan modal insan DEB. Peniaga, usahawan serta profesional Melayu dan bumiputera berjaya dilahirkan, migrasi desa ke bandar berlaku, sementara landskap serta infrastruktur di luar bandar bertukar wajah.
DEB mula dilukiskan wajah buruk apabila berlakunya kecurangan di peringkat pelaksanaan, lalu mencetuskan jurang di antara matlamat yang disasarkan dengan realiti pencapaian, terutama dari segi milik ekuiti.
Akibatnya, matlamat mahu mengimbangkan agihan ekuiti di kalangan ummah gagal dicapai; sementara dasar murni yang tidak berdosa itu dipersalahkan, dijadikan sasaran kritikan, malah ada pihak yang sampai ke tahap, tergamak menghina dasar tersebut.
Sedarilah! dasar tersebut tidak berdosa dan tidak pernah melakukan dosa, yang berdosa, adalah di kalangan mereka yang telah melakukan pelbagai penyelewengan di peringkat pelaksanaan. Akibatnya berlaku kerapuhan pegangan hak milik terutama di kalangan individu Melayu, lalu berlaku ketirisan hak milik harta, begitu juga ketirisan hak milik urus niaga bernilai tinggi.
Terdapat kajian yang menunjukkan bahawa hanya enam peratus daripada kekayaan individu dan keluarga Melayu yang sempat sampai ke generasi ketiga, dan hanya dua peratus yang berkekalan melewati generasi ketiga.
Pola daya tahan pemilikan ekuiti di kalangan individu yang begitu sementara sifatnya, akan memberi impak negatif dalam jangka panjang, boleh mengakibatkan ummah menerima nasib berdagang di bumi sendiri.
Oleh itu, amatlah kritikal untuk difikirkan mekanisme lebih berkesan, yang dapat memberikan jaminan yang lebih lestari, agar secara keseluruhannya, pegangan ekuiti ummah, tidak begitu cepat dan tidak begitu mudah terhakis.
Ini adalah satu cabaran. Cabaran ini menuntut kepada penerokaan strategi baru dengan memperkenalkan mekanisme yang lebih berkesan - mekanisme yang lebih kedap udara (airtight) demi menjamin ummah memiliki daya tahan menghimpun harta kekayaan yang berterusan meningkat, dan kekal dipegang dari generasi ke generasi.
Kejayaan sesuatu dasar, kaedah mahupun mekanisme amat dipengaruhi oleh instrumen pelaksanaan, sementara instrumen pelaksanaan pula amat dipengaruhi oleh sifat individu. Pengalaman pahit yang berlaku di masa lalu, disebabkan adanya individu yang bersifat pagar memakan padi, wajib dijadikan pengajaran.
Betapa beberapa institusi yang diwujudkan untuk kepentingan ekonomi ummah, menghadapi masalah hingga muflis, terpaksa ditutup, terpaksa diselamatkan oleh kerajaan, sedangkan segelintir individu yang melakukan pelbagai kecurangan terlepas bebas malah menimba keuntungan peribadi.
Banyak nasi menjadi bubur - banyak nila tumpah ke susu. Jangan berlarutan ditangisi cerita duka. Kita tulis skrip baru - kita suntik keyakinan baru - kita terokai pendekatan baru - kita bina watak baru.
Ummah pada tahun 1433 Hijrah, perlu berani melakukan penghijrahan strategi, berhijrah dari kaedah berfokuskan individu kepada kaedah berasaskan institusi. Konsep wakaf korporat difikirkan sebagai satu alternatif yang berpotensi menggantikan kaedah sedia ada.
Konsep yang sedang dirintis ini, menyuntik pendekatan urus niaga bersandarkan roh Islam, berpohon sifat-sifat amanah, jujur, ikhlas dan telus, sifat yang menginsafi akauntabiliti lebih tinggi, bukan sekadar kepada institusi dan ummah, tetapi lebih dari itu, berpegang kepada konsep iman dan takwa terhadap Allah Subhanahu Wata'ala.
Beta mengikuti secara dekat kesungguhan usaha yang sedang aktif dirintis oleh Yayasan IQRA bersama International Centre For Education in Islamic Finance (INCEIF) dengan kerjasama beberapa organisasi Islam dan Melayu, juga beberapa individu untuk merealisasikan konsep Wakaf Korporat.
Penubuhan Wakaf Korporat adalah salah satu dari resolusi yang telah dirumuskan oleh Kongres Majlis Agama Islam Negeri-Negeri Malaysia yang bersidang pada 26 dan 27 September 2011.
Konsep wakaf korporat juga adalah salah satu dari rumusan yang dipersetujukan dalam Kongres Ekonomi Islam Ketiga yang berlangsung pada 12 hingga 15 Januari 2009. Wakaf Korporat bertujuan memenuhi agenda meningkatkan status ekonomi ummah secara berkekalan, berteraskan institusi.
Konsep wakaf bukannya baru. Di satu masa dahulu, wakaf berperanan sebagai sumber kekuatan ekonomi ummah hingga ummah tidak perlu terlalu bergantung kepada dana kerajaan.
Usaha yang dirintis ini adalah untuk menghidupkan semula kaedah yang telah pernah mencipta kejayaan - kaedah yang telah disisirkan dan akhirnya dipinggirkan - menjadi mangsa - menerima nasib malang ekoran manipulasi kuasa penjajah.
Konsep wakaf korporat telah dibuktikan kejayaannya di negara ini. Waqaf An Nur Corporation Berhad yang ditubuhkan pada 3 Ogos 2006, boleh dijadikan rujukan untuk diadaptasi di peringkat yang lebih luas.
Beta menyifatkan cetusan idea untuk menghidupkan wakaf korporat datangnya dari Ilahi sebagai pendekatan alternatif untuk membantu ummah mengatasi keadaan kritikal yang sedang dialami. Wakaf Korporat diyakini dapat berfungsi secara lebih berkesan dalam memenuhi agenda membangunkan ekonomi ummah.
Ia adalah kaedah yang berupaya menampung lubang-lubang ketirisan yang pernah berlaku. Ia adalah jarum dan benang yang berupaya menjahit dan mencantumkan kembali dasar yang telah dirobek dan dikoyakkan oleh perbuatan-perbuatan menyimpang di masa lalu.
Setiap langkah baru bakal menghadap ujian - bakal berhadapan dengan cabaran; terutama untuk mendapatkan persefahaman, persetujuan, sokongan dan penyertaan. Pada pandangan beta, dalam menyusun agenda untuk membangunkan wakaf korporat, perkara-perkara berikut wajib diberikan perhatian.
Pertama: Bahawa semua perkara menyentuh Islam dalam atur urusan kehidupan ummah di negara ini, terletak di bawah kuasa mutlak Raja-Raja. Oleh itu, restu perkenan dari Raja-Raja Melayu adalah prasyarat untuk memungkinkan rancangan yang murni ini dapat direalisasikan. Langkah mengangkat perkara ini untuk pertimbangan Persidangan Majlis Raja-Raja adalah langkah tepat.
Kedua: Persefahaman dan sokongan ulama wajib diperoleh. Perkenan Raja-Raja di atas sesuatu fatwa adalah tertakluk kepada perakuan Jawatankuasa Fatwa Negeri. Untuk itu usaha-usaha penerangan melibatkan ulama seperti yang diadakan dalam seminar ini perlu dianjurkan di negeri-negeri.
Beta telah menitahkan supaya penerangan berhubung wakaf korporat dimasukkan dalam program tahunan muzakarah ulama di negeri Perak pada tahun ini.
Ketiga: Mendapatkan persefahaman Kerajaan di peringkat Persekutuan dan negeri bahawa usaha ini tidak bertujuan menyaingi segala usaha Kerajaan Persekutuan dan kerajaan-kerajaan negeri. Di sebaliknya ia adalah usaha pelengkap dalam memenuhi agenda meningkatkan status ekonomi ummah.
Keempat: Wakaf Korporat hendaklah berimej dan berfungsi sebagai entiti korporat dan entiti urus niaga yang dapat menggabungkan seluruh ummah dengan keinsafan bahawa kelangsungan ummah secara menyeluruh lebih perlu diutamakan di bumi ini. Entiti korporat ini hendaklah dipastikan bebas dari sebarang pengaruh atau campur tangan politik kepartian.
Wakaf korporat hendaklah diasaskan atas entiti politik yang neutral, berupaya menggabungkan seluruh ummah di bawah payung naungan Raja-Raja Melayu tanpa sebarang diskriminasi dan prejudis berunsur politik kepartian, dipimpin dan diuruskan oleh individu yang bebas dari stigma politik kepartian.
Kelima: Tenaga penggerak dan tenaga pengurusan yang diberi amanah untuk mengendalikan wakaf korporat hendaklah dari kalangan individu berintegriti tinggi, menghayati semangat Fisabilillah, berkhidmat tulus kerana Allah, di jalan Allah, semata-mata kerana Allah Subhanahu Wataala.
Wakaf Korporat bukannya lubuk untuk membina kekayaan peribadi, kekayaan keluarga atau kekayaan kelompok.
Wakaf Korporat bukan tempat untuk berbelanja muncah dan berbudaya mewah; wakaf korporat bukan tempat untuk mendapatkan imbuhan peribadi secara keterlaluan, jauh sekali untuk mengaut keuntungan peribadi.
Elemen-elemen amanah, luhur, telus dan ikhlas adalah kemestian dengan mengamalkan disiplin sifar toleransi terhadap sebarang skandal, berpegang semangat yang pernah diseru oleh Rasulullah Sallallahu Alai Wassalam yang meletakkan status para peniaga yang jujur dan amanah sejajar dengan para wali, para siddiqin, para syuhada dan orang-orang yang saleh.
Wakaf Korporat adalah rumah untuk menempatkan individu yang sedia berkorban dan sedia bersedekah tanpa memikirkan imbuhan duniawi.
Sama-samalah kita memohon petunjuk dan rahmat Ilahi supaya mempertemukan kita dengan Siratul Mustaqim.
Sama-samalah kita menzahirkan rasa keagungan kasih kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad Sallallahu Alai Wassalam, para sahabat dan keluarga Baginda, kepada para Tabiin dan para ulama, kepada roh para guru dan begitu juga kepada roh ibu bapa di kalangan kita yang telah kehilangan mereka, dengan membacakan Surah Al-Fatihah.
Sumber: Utusan Malaysia (15/2/2012)
Inspirasi Usahawan di Radio IKIMfm
Dengarkan Slot Khas - Inspirasi Usahawan
Setiap Selasa, 3.15 petang di IKIMfm
Inspirasi Usahawan telah mula disiarkan di IKIMfm sejak Selasa 3 Jan jam 3.15 petang. Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM) telah menerima jemputan khas bagi pengisian program tersebut.
Untuk sesi pengenalan, YBhg. Tan Sri Muhammad Ali Hashim, Timbalan Presiden Dewan Perdagangan Islam Malaysia telah sudi berkongsi tips dan pengalaman menjadi usahawan dan peniaga yang berjaya. Program 30 minit itu diharapkan akan dapat membantu dan membimbing para usahawan Islam agar menjadi usahawan yang disegani. Beberapa usahawan yang juga ahli-ahli DPIM bakal dijemput untuk sessi yang akan hadir sebagai tetamu bagi berkongsi pengalaman serta ilmu mereka tentang keusahawanan serta perniagaan dalam Islam.
Tranformasi Ekonomi Ummat
BARU-BARU ini, satu Kongres yang menempa sejarah diadakan di Kuala Lumpur anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), dengan perkenan Persidangan Majlis Raja-Raja.
Fokus kongres yang julung kali diadakan adalah transformasi ummah dengan Majlis Agama Islam Negeri-Negeri (MAIN) di Malaysia sebagai pemacunya. Ia bertujuan menilai semula dan memperbaharui peranan MAIN dan meningkatkan impak MAIN dalam sistem pemerintahan negara, khasnya mengambil kira status istimewa agama Islam dalam sejarah pembentukan negara dan Perlembagaan Malaysia.
Kongres ini juga luar biasa kerana pelancarannya disempurnakan oleh Yang di-Pertuan Agong dengan keberangkatan beberapa Raja-Raja Melayu dan wakil-wakil Raja.
Sewajarnya Kongres diperkenan perasmiannya oleh Yang di-Pertuan Agong kerana kedudukan Baginda, seperti yang dinyatakan dalam Titah Diraja yang disampaikan oleh Pemangku Raja Perak, Raja Nazrin Shah: “Selaku Ketua Agama negara untuk memelihara kesucian agama Islam pada setiap masa” yang juga merupakan “tanggungjawab penting” yang “didukung bersama oleh sembilan Raja Melayu di negeri-negeri.”
Titah Diraja yang disampaikan oleh Pemangku Raja Perak itu turut menegaskan betapa dari sejak awal sejarah “risalah Islam membawa impak besar kepada jiwa dan minda masyarakat Melayu… mengisi kandungan rohani, begitu serasi - begitu sebati dengan jiwa dan budaya Melayu…", langsung menjadi tenaga terkuat yang mencorakkan kepercayaan, nilai dan sikap masyarakat,”.
Baginda seterusnya menegaskan, berdasarkan konsepsi Islam, "…Raja hanya bertaraf wakil atau khalifah di bumi dengan sifat-sifat kemanusiaan. Kuasa Raja disandarkan dengan hukum kerana Raja juga tidak boleh mengingkari tuntutan syarak. Kemuliaan Raja dinilai dari sudut amal makruf Baginda menyempurnakan tanggungjawab, lantas menginsafkan Raja bahawa kuasa pemerintahan adalah satu amanah Ilahi yang sama sekali tidak boleh disalahgunakan,”.
Politik berpatah arang berkerat rotan
Selanjutnya, Raja Nazrin Shah turut menegaskan Islam dan Melayu sebagai “tunggak utama Tanah Melayu” dengan menyusur kembali sejarah penubuhan pemerintahan serta urutan pembentukan Perlembagaan negara.
Konteks urutan sejarah Perlembagaan ini penting difahami semua kerana hari ini terdapat kecenderungan mempersoal peruntukan Perlembagaan yang menyentuh beberapa keistimewaan dalam Perlembagaan negara.
Baginda mengingatkan, lebih berbahaya “jika prinsip asas agama diredakan untuk dijadikan bahan tolak ansur politik.” Baginda juga menzahirkan kebimbangan “Islam telah mula dijadikan instrumen bertujuan meraih pengaruh dan mendapatkan kuasa, sehingga ke peringkat sedia berkompromi kepada perkara-perkara prinsip menyentuh akidah.”
Antara titah Baginda yang mendapat perhatian: “Raja-Raja Melayu sangat prihatin terhadap masalah perpaduan ummah di hari ini. Ummah kelihatan berada dalam babak yang begitu taksub untuk menang ‘sorak’ tanpa memikirkan kampung lamannya mungkin tergadai.
Raja-raja sedang memerhatikan pendirian taksub kepimpinan politik di kalangan ummah, memilih untuk berpatah arang berkerat rotan, bergembira melihat yang kalah menjadi abu dan berpuas hati walaupun yang menang akan menjadi puntung-puntung arang…"
Transformasi ekonomi ummah
Selepas Titah Diraja berjaya menyuntik nafas baru, kongres kemudiannya menumpukan perhatian kepada tiga sektor utama, iaitu ekonomi, pendidikan dan perundangan Islam yang membabitkan tokoh-tokoh besar negara di bidang masing-masing. Banyak isu besar dan penting dibicarakan. Dalam ruang yang terhad penulisan ini hanya dapat menumpukan perhatian kepada isu ekonomi.
Saya bersyukur kerana diberi kesempatan membentang salah satu kertas ekonomi di bawah tajuk: “Wakaf Korporat Memperkasa Ekonomi Ummah”. Dua pembentang lain ialah Datuk Nik Mustapha Nik Hassan, Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) dan Datuk Mustafa Abdul Rahman, Pengerusi, Pusat Pungutan Zakat, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan.
Mustafa menekankan potensi peranan institusi zakat dan kaedah meningkatkan keupayaan dan prestasi pengurusan zakat di peringkat negeri dengan mengamalkan pendekatan pengurusan terkini. Pengalaman Pusat Pungutan Zakat Wilayah Persekutuan dijadikan rujukan untuk dikongsi bersama.
Nik Mustapha pula, antara lain, menegaskan bagaimana sistem ekonomi kapitalis global yang didominasi Barat kelihatan semakin lemah, setelah berlaku banyak kerosakan dan mengakibatkan masalah ekonomi dan ketidakadilan serta ketidakstabilan sosial termasuk di Barat sendiri.
Sistem ini kelihatan semakin tidak disenangi dan mendapat tentangan ramai. Tanda-tanda nyata juga menunjuk ke arah ketidaklestarian sistem, khasnya dalam bentuk dan corak yang dipraktikkan dalam lingkungan ideologi kapitalisme liberal. Justeru, keupayaan kelangsungan sistem semakin diragui, dan dalam hal ini umat Islam berpeluang besar menyumbang kepada pembaharuan sistem ekonomi global mengikut acuan Islam.
Dalam pembentangan kertas kerja saya mengutarakan Wakaf Korporat sebagai satu inovasi institusi Islam yang berupaya menggabung kekuatan korporat dengan ketahanan wakaf untuk membasmi kemiskinan, menjana nilai ekonomi dan menghimpun harta kekayaan. Wakaf Korporat juga berupaya mengatasi kebocoran hak milik bisnes Muslim dan boleh menjadi dasar alternatif penswastaan, iaitu mengikut kaedah Islam yang menjamin kelangsungan hak milik, insya Allah, sampai kiamat.
Pada jangka panjang, setelah diamalkan secara meluas, institusi ini berupaya memperkasa ekonomi ummah di samping menegakkan keadilan dan membasmi kezaliman ekonomi. Institusi yang berteraskan amanah serta pro bisnes dan pro pasaran ini berpotensi menggantikan amalan kapitalis Barat yang kerap tidak prihatin, sebaliknya menggalakkan kerakusan dan keserakahan sistem, menjadikannya greed-driven - iaitu punca utama kerosakan kehidupan dunia hari ini.
Dalam pembentangan saya juga menekankan betapa Waqaf Korporat bukan satu teori atas kertas atau satu slogan kosong. Pengalaman Wakaf An Nur Corporation Bhd (WANCorp) yang dibentuk oleh Johor Corporation dengan persefahaman dan kerjasama penuh Majlis Agama Islam Negeri Johor diketengahkan sebagai bukti nyata bagaimana inovasi institusi Wakaf Korporat ini boleh dibina dan dijayakan.
Antara bukti kejayaannya adalah nilai harta wakaf yang semakin meningkat. WANCorp bermula pada 3 Ogos, 2006, dengan pewakafan sebahagian saham syarikat tersenarai (PLC) milik JCorp dengan nilai RM200 juta. Nilai saham PLC yang diwakafkan ini dapat dilipatgandakan sehingga melebihi RM430 juta di akhir 2010 setelah pasaran saham Malaysia meningkat naik dalam tempoh sama.
Selain itu, pembahagian manfaat hasil dividen daripada saham PLC yang diwakaf juga boleh menyumbang kepada perkembangan jangka panjang harta Wakaf Korporat setelah 70 peratus dilabur semula menurut syarat hujah wakaf.
Selebihnya, iaitu 25 peratus diagih untuk manfaat fisabilillah dan amal kebajikan, sementara 5 peratus lagi diserah kepada Majlis Agama Islam Negeri Johor. Peluang dan kesempatan juga terbuka luas untuk membuktikan kesucian, kebesaran dan kemuliaan Islam dengan menentukan manfaat amal kebajikan turut membantu meringankan beban golongan miskin dan daif dalam kalangan warga bukan Muslim.
Saya amat bersyukur kerana di akhir sidang Kongres menerima resolusi supaya Kerajaan Persekutuan dan Majlis Agama Islam Negeri-negeri menubuhkan Wakaf Korporat nasional di peringkat Persekutuan dan Wakaf Korporat negeri di peringkat negeri masing-masing.
Wakaf Korporat untuk transformasi ekonomi
Jelas sekali andainya kejayaan WANCorp dapat di cambah di peringkat nasional dan di negeri-negeri, institusi Wakaf Korporat berupaya memperkasa ekonomi di samping mempertahan dan melindungi kepentingan jangka panjang ummah, selain menyumbang kepada pertambahan nilai dan pertumbuhan ekonomi negara.
Bayangkan tidak mustahil satu hari nanti, andainya umat Islam bersatu tekad menghimpun sumber dan daya ummah global, mereka akan berupaya mengambil alih dan menerajui syarikat MNC global (seumpama KFC milik Amerika Syarikat - mengawal bisnes global menguntungkan dan kemudiannya menghalalkan makanan KFC di seluruh dunia!)
Sesungguhnya sistem ekonomi global hari ini semakin tidak menentu, menjadikan seluruh kehidupan manusia dunia terancam dan menantikan pembaharuan menyeluruh. Dalam senario bergolak hari ini, pembaharuan institusi sangat penting dan kaedah yang diperkenalkan seperti menerusi Wakaf Korporat berpotensi memainkan peranan transformasi besar. Hal ini perlu diberi perhatian oleh dunia Islam, terutama di negara-negara Arab dan Asia Barat yang sedang dilanda tsunami transformasi dan revolusi.
Jelas sekali, revolusi di negara-negara seperti Tunisia, Mesir dan Libya dicetus oleh tindakan menolak korupsi, kronisme, kerakusan serta bersekongkolan kuasa golongan elit pemerintah dengan kepentingan sempit korporat swasta, akibat penciplakan sistem kapitalis liberal Barat. Setelah revolusi terlaksana, rakyat terbabit pasti menantikan pembaharuan sistem supaya lebih Islamik, adil, seimbang dan saksama.
Dalam urusan ini pengenalan institusi baharu sangat penting. Dipercayai prinsip asas ekonomi Islam yang mensifatkan harta kekayaan sebagai amanah Allah SWT wajib diterjemahkan menjadi realiti. Ideologi Jihad Bisnes dan institusi Wakaf Korporat adalah pembaharuan yang berteraskan prinsip menegakkan Kalimah Allah dan menjadikan hak milik harta kekayaan sebagai amanah. Justeru, kedua-duanya berpotensi membawa impak positif untuk disambut baik oleh ummah.
Kesimpulannya, Wakaf Korporat adalah satu kaedah yang berupaya membawa pembaharuan menyeluruh dan transformasi bermakna khasnya bagi umat Islam di Malaysia.
Tiba masanya umat Islam memperkasa ekonomi dengan menguasai bisnes (kerana sembilan per sepuluh sumber rezeki berpunca dari bisnes). Sekali gus perpaduan dan kebulatan ummah boleh dipupuk dengan mewakafkan hak milik harta kekayaan sebagai amanah dan memperjuangkan keadilan.
Mereka juga wajib segera mengguna kekuatan organisasi bisnes dan korporat, mengadaptasikannya supaya serasi dengan nilai dan kaedah Islam. Satu pilihan adalah dengan mewakafkan sebahagian hak milik bisnes strategik di bawah pegangan institusi kepentingan awam seumpama syarikat milik kerajaan (GLC), kepada sebuah badan Wakaf Korporat Nasional.
Menerusi kaedah ini, usaha dapat dimulakan untuk mentransformasi sistem ekonomi global dan mentamadunkan semula kehidupan manusia di dunia mengikut acuan Islam, iaitu merealisasikan tuntutan Allah SWT yang telah menurunkan agama Islam “sebagai rahmat kepada sekalian alam”.




