EPISOD KE 10 : 31 OGOS 2009, ISNIN
Tetamu :
Encik Halmi Jasmin
Pengarah Urusan Metro Parking Sdn Bhd
merangkap Pengerusi JCorp Intrapreneur Malaysia Berhad ( JIMB )
Sinopsis :
..Tidak bekerja, suami pula menghilangkan diri, meninggalkan Che Mazlina Mohd (32 tahun) dari Kampung Melayu Jerantut, Pahang hidup sendirian menguruskan anak-anak yang masih kecil. Hidup Che Mazlina terus diuji apabila anaknya yang ke lima, adik Adam Mohd Azmi kini berusia 1 tahun 19 bulan, dilahirkan tidak sempurna. Akibat kesempitan hidup dan tiada pilihan juga, Che Mazlina terpaksa menyerahkan anaknya yang keenam yang merupakan satu-satunya anak perempuan beliau, kepada orang lain. Demi anak-anak, Che Mazlina telan segala kepahitan. Walau sesukar mana, hidup mesti diteruskan..
Jangan ketinggalan, saksikan bagaimana Lembaga Tabung Haji membantu mereka yang memerlukan di dalam Tijarah Ramadan jam 6.10 petang di TV 1
Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul.
Ringankan beban mereka. Mereka juga ingin bergembira menyambut Aidil Fitri.
Sambil menonton, bantulah seikhlas hati.
-SELAMAT MENONTON DAN HULURKAN SUMBANGAN SEIKHLAS HATI -
Tijarah Ramadan adalah program televisyen terbitan J ohor Corporation dengan kerjasama Biro Korporat, Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM). Program Tijarah Ramadan memberi peluang kepada syarikat-syarikat atau organisasi bisnes memaparkan aktiviti-aktiviti kebajikan dan kemasyarakatan yang dilaksanakan. Program ini diharap dapat mengenengah dan menggalakkan pelaksanaan Tanggungjawab Sosial Korporat organisasi kepada golongan yang memerlukan. Melalui program Tijarah Ramadan juga, golongan yang susah dan kurang upaya dapat dibantu dan diringankan beban serta penderitaan yang dialami mereka, khususnya di dalam keadaan seluruh umat Islam akan menyambut kedatangan Hari Raya Aidil Fitri.


