TEKS TITAH UCAPAN
DULI YANG MAHA MULIA TUANKU SYED SIRAJUDDIN IBNI AL-MARHUM TUANKU SYED PUTRA JAMALULLAIL
TUANKU RAJA PERLISMAJLIS SA NTAPAN DIRAJA
BERSEMPENA ULANGTAHUN DPIM YANG KE 15 &
PERASMIAN MESYUARAT AGONG DEWAN PERDAGANGAN ISLAM MALAYSIA (DPIM) KALI KE 16
7 OGOS 2009 (JUMAAT) 8.30 Malam
DEWAN TUN HUSSEIN ONN, PWTC
BISMILLHIROHMANIROHIM ..
Assalamualaikum wrt wbt
Tuan Pengerusi Majlis,
Beta, dengan rasa syukur ke hadrat Illahi mengucapkan terima kasih di atas undangan Ke Majlis Santapan Bersempena Ulangtahun Dewan Perdagangan Islam Malaysia Yang Ke 15 dan Perasmian Mesyuarat Agong Kali ke 16 ini. Hanya kepada Allah sajalah kita menyerah dan bertawwakkal. Kita hanya beriktiar sebaik mungkin dengan segala perancangannya dan Allahlah yang maha menentukan. Maka beta mengharapkan impian DPIM untuk memperjuangkan bisnes sebagai satu cabang jihad ini dapat direalisasikan demi kepentingan umat seluruhnya.
Usaha murni yang sedang dilaksanakan oleh DPIM ini wajar didokong oleh semua, tanpa mengira kaum atau agama. Semangat muafakat yang sedia terjalin dalam kepimpinan dan anggota-anggota DPIM di seluruh negara, wajar dipertingkatkan dan diperluaskan lagi. Beta mengharapkan kerjasama DPIM dengan badan-badan bisnes lain dalam dan luar negara elok diperkukuhkan. Beta doakan, DPIM akan terus memberi sumbangan khususnya kepada ahli dalam mengintai-intai peluang dan ruang bisnes yang ada, termasuklah ruang produk halal yang begitu luas dan menguasai sektor hartanah yang kini begitu jauh merosotnya pemilikan hartanah orang Islam di negara kita, Malaysia.
Beta merasakan produk halal ini, bukan cuma diminta oleh pengguna muslim; malahan ianya sudah menjadi satu jenama yang dikaitkan dengan kualiti dan bersih – halalan toiyibban. Malangnya beta merasakan peluang ini tidak begitu diambil. Maka beta mengharapkan DPIM boleh memberi perhatian kepada isu ini secara serius. DPIM juga seharusnya memikirkan satu kaedah yang membolehkan hartanah-hartanah yang telah dibangunkan serta dimajukan khususnya di kawasan-kawasan perbandaran dapat dibeli dan dimiliki oleh orang Islam.
Islam telah membawa bersamanya segala khazanah dan panduan untuk membina kehidupan yang diredhai. Islam telah membina akhlak dan disiplin dalam bisnes. Bagaimana indahnya solat, begitulah kita dituntut untuk memperindahkan bisnes dengan berzakat. Zakat membawa berkat. Zakat memberi makna menyucikan dan menyuburkan. Alangkah baiknya, jika harta yang soleh itu berada pada ahli bisnes yang soleh
Akhirnya, beta mendokan semuga segala usaha dan cita-cita DPIM mendapat keredaan Allah Suhanawataalah (SWT).
Dengan lafaz yang mulia BISMILLAHIROHMANIROHIM beta dengan ini merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Dewan Perdagangan Islam Malaysia Kali Ke 16.
Wassalamualaikum warohmatullahiwarokatuh (Wbkth)
