UCAPAN PRESIDEN

SEMPENA MESYUARAT AGUNG TAHUNAN DEWAN PERDAGANGAN ISLAM MALAYSIA KALI YANG KE 16 DI DEWAN TUN HUSSEIN ONN, PWTC, KUALA LUMPUR
8HB OGOS 2009.

”RAPATKAN SAF DALAM PERJUANGAN BISNES

 

Assalamualaaikum warahmatullah hiwabarakatuh

Yang dimuliakan saudara Pengerusi Majlis,
YBhg Pengerusi Tetap Persidangan,
Dato' Hj. Yahya Hj Shafie,
Y.Bhg. Dato' Seri Hj Mohd Yusof Bin Latiff,
Timbalan Presiden
Naib-naib Presiden
Ahli-ahli Majlis Tertinggi
Ketua-ketua Jabatan Kerajaan
Para perwakilan dan pemerhati dari DPIM negeri-negeri
Para Media, tuan tuan dan puan puan sekalian.

BISMILLAHIR RAHMANIR RAHIM

Segala pujian bagi Allah Subhanahu Wata'ala, selawat serta salam ke atas junjungan kita, Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wassalam, kaum keluarga dan sahabat-sahabat Baginda.

Saudara-saudari para hadirin sekalian,

Sekali lagi kita memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah S.A.W kerana dengan limpah rahmatnya kita dapat bersidang di Dewan Tun Hussein Onn, PWTC yang indah dan permai ini.

Atas nama kepimpinan DPIM, kita juga ingin mengalu-alukan kehadiran para pemerhati dan mengucapkan jutaan terima kasih atas kehadiran anda sekalian.

Kita semua rasa amat gembira kerana Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Kali Yang Ke 16 ini telah disempurnakan perasmiannya oleh DYMM Tuanku Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Al-Marhum Tunku Syed Putra Jamalullail pada 7hb Ogos 2009. Bersempena dengan itu juga satu Majlis Santapan DiRaja telah diadakan.

Para pemerhati dan perwakilan sekalian,

Menyingkap sejarah penubuhan DPIM yang dahulunya dikenali sebagai Dewan Perniagaan Islam Malaysia yang amat kecil bilangan ahli-ahlinya. Pada masa itu yang besar hanyalah semangat pejuangan untuk memimpin usahawan-usahawan Islam. Tetapi, sekarang kita sangat berbangga melihat bendera Dewan Perdagangan Islam Malaysia berada di segenap negeri di Malaysia.

DPIM telah dianggap sebagai 'networking' kepada ahli-ahli bisnes Islam dan disokong oleh badan-badan Usahawan seperti Tekun Nasional yang menyediakan pembiayaan perniagaan kepada yang layak. Rebutlah peluang dan ruang yang tersedia ini untuk mengembangkan sayap perniagaan kita semua.

Dahulu orang-orang Islam hanya menjadi pembeli dan terlalu bergantung kepada pembekal yang dimonopoli oleh bangsa asing. Tetapi sekarang kita dapat lihat ahli-ahli DPIM sendiri telah menjadi pengeluar dalam pelbagai produk seperti makanan yang pelbagai jenis, pakaian, hartanah, bidang perubatan dan barangan lain yang menjadi keperluan asas kita. Untuk menghasilkan cendikiawan Islam, bidang akademik juga telah diterokai oleh usahawan Islam. Daripada Tadika Islam ke pusat-pusat pengajian tinggi sudahpun dikuasai oleh usahawan Islam yang juga ahli-ahli DPIM.

Para perwakilan dan pemerhati yang dihormati sekalian,

Islam dan Asia begitu mengerikan bagi masyarakat Barat, kerana Asia merupakan negara terbesar penganut Islam. Malaysia pula dilihat semakin cemerlang menggunakan asas-asas Islam dalam setiap aspek pembangunan dan dilihat contoh menarik bagi negara-negara Islam lain. Negara-negara Islam mula melihat Malaysia sebagai model pembangunan negara yang terbaik, dengan sistem halal dalam setiap aspek perniagaan mencakupi perbankan dan ditambah pula dengan keharmonian masyarakat pelbagai agama, budaya dan etnik Malaysia menjadi rujukan kepada beberapa negara Islam yang lain.

Bayangkan, pasaran makanan halal ketika ini mencecah RM2.3 trilion, dan bagi edaran dalam negara sahaja, ia dianggarkan bernilai RM190 billion setahun. Ramai yang agak skeptik dengan angka-angka yang diberikan. Namun, jika setiap penduduk Malaysia beragama Islam yang berjumlah kira-kira 17 juta mengeluarkan RM10 sehari untuk makanan, maka pasaran yang tersedia sudah mencecah lebih RM60 bilion setahun

Dengan kekuatan dan jumlah penduduk Islam yang ramai di seluruh dunia, tidak hairanlah perniagaan halal diperkatakan secara global. Saya percaya pada satu masa nanti Empayar Islam akan kembali gah seperti zaman Rasulullah S.A.W. suatu ketika dahulu.

Tapi apa yang kita takutkan bukanlah musuh-musuh Islam secara fizikalnya tetapi Islam yang bermusuh-musuh , Islam yang tiada persefahaman dan yang menolak sesama kita dari naik ke atas untuk mencapai kejayaan.

Justeru, saya menyeru semua ahli-ahli DPIM untuk mengenepikan seketika fahaman politik masing-masing tetapi rapatkan saf kita atas nama memperjuangkan nasib dan masa depan usahawan-usahawan Islam keseluruhannya. Kekuatan kita adalah, agama kita. Etika perniagaan Islam sangat cantik dengan tatacara dan akadnya yang menjurus kepada keadilan semua pihak, tiada penipuan dan tiada riba.

Saudara-saudari para hadirin sekalian,

Perniagaan adalah perjuangan dan dalam memperjuangkan perniagaan ini kita perlulah bersatu, kukuh dan beristiqamah. Saya berdoa semoga Allah S.W.T memberikan kekuatan kepada kita semua dalam perjuangan ini.

Saya mengambil kesempatan ini mengucapkan Selamat Menyambut Ulangtahun DPIM Kali Yang Ke 15 kepada semua para perwakilan sekalian dan selamat bersidang untuk Mesyuarat Agung Tahunan Kali Yang ke 16.

Sekian sahaja, wassalam.

Wabillahi taufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi taala wabarakatuh.

TENGKU TAN SRI DATO' SERI AHMAD RITHAUDDEN BIN TENGKU ISMAIL

PRESIDEN
DEWAN PERDAGANGAN ISLAM MALAYSIA

 

 

 

 
Copyright 2007 - 2008 © Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM) - webmaster@dpim.com.my All rights reserved.