KENYATAAN AKHBAR

Dewan Perdagangan Islam Malaysia akan mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan Kali Yang Ke 16 pada 8hb Ogos 2009 bertempat di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Perdagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur. Majlis akan bermula pada jam 10:00 pagi.

Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan DPIM Kali Yang ke 16 telah disempurnakan oleh DYMM Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Al-Marhum Tuanku Syed Putra Jamalullail, Tuanku Raja Perlis dalam satu Majlis Santapan DiRaja pada 7hb Ogos 2009 di Dewan Tun Hussein Onn, PWTC, Kuala Lumpur.

Mesyuarat Agung Tahunan Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM) Kali Yang Ke 16 ini akan menghimpunkan semua perwakilan dari cawangan-cawangan DPIM dari seluruh Malaysia. Cawangan-cawangan DPIM adalah :-

•  Perlis - Kedah - Pulau Pinang
•  Perak - Selangor - WP Kuala Lumpur
•  WP Putrajaya - Negeri Sembilan - Melaka
•  Johor - Pahang - Terengganu
•  Kelantan - Sabah - WP Labuan
•  Sarawak

Kehadiran tetamu khas pula adalah dari wakil-wakil kementerian, duta-duta besar dan juga ahli-ahli dari biro-biro DPIM, yang diterajui oleh mereka-mereka yang amat berwibawa dan tokoh-tokoh hebat dalam bidang keusahawanan iaitu :-

•  Biro Jaringan Global (YBhg Dato' Seri Haji Mohd Yussof Bin Latiff)
•  Biro Korporat (YBhg Tan Sri Dato' Muhammad Ali Hj. Hashim)
•  Biro Usahawan Muda (YBhg Datuk Abdul Rahim Bin Hassan)
•  Biro Usahawan Wanita (YBhg Datuk Aishah Binti Shaik Ahmad)

PERANAN DPIM DALAM MEMPERKASA USAHAWAN ISLAM

Sebagai makluman, sepanjang tahun 2008 sehingga Jun 2009, DPIM telah banyak mengatur dan melaksanakan program-program bagi memperkasakan usahawan-usahawan Islam Malaysia amnya dan usahawan DPIM khasnya. Antara lain, melalui aktiviti Biro Korporat dengan kerjasama Johor Corporation dan JAKIM, Biro Korporat DPIM mengorak langkah ke serata Malaysia dengan Program Pembangunan Industri Halal Nasional. Negeri-negeri yang terlibat adalah Johor, Perak, Pahang, Terengganu, Pulau Pinang, Selangor, WP Kuala Lumpur, Kedah, Melaka dan sebagainya. Semua ahli-ahli DPIM peringkat negeri berpeluang untuk menyertai program ini.

Sebagai bingkisan kepada usahawan-usahawan Islam Malaysia, satu program yang berteraskan Jihad Bisnes telah diadakan oleh Biro Korporat DPIM dengan kerjasama JAKIM dan Johor Corporation. Program yang bernama At-Tijarah ini telahpun masuk musim ke 4 . Program ini telah berlangsung sebanyak 13 episod dan disiarkan di RTM 1 bermula pada 2 Jun hingga 25 Ogos 2008, jam 6.30 petang.

Selain daripada itu, Biro Usahawan Muda pula telah mengadakan Majlis Perjumpaan dan Jaringan Usahawan Muda DPIM pada 2 Ogos 2008 di Hotel Vistana Kuala Lumpur. Tujuan perlaksanaan program ini adalah untuk merapatkan ukhuwah dan mewujudkan jaringan di antara usahawan muda DPIM dengan usahawan Rakan Niaga TEKUN Nasional.

Perjumpaan ini membuka lembaran baru kepada usahawan muda yang mana DPIM menyediakan rangkaian ahli-ahli bisnes sementara TEKUN Nasional menyediakan sokongan kewangan kepada usahawan yang layak mendapat pembiayaan perniagaan.

DPIM DIPERSADA ANTARABANGSA

DPIM juga telah menjadi rujukan kepada usahawan-usahawan Islam dari luar negara. Ibupejabat DPIM telah mendapat kunjungan daripada delegasi-delegasi ekonomi seperti:-

•  Lawatan Autonomous Region of Muslim Mindanao (ARMM) dan Bangsamoro Development Agency (BDA) (11 Februari 2008)

Delegasi dagang seramai 8 orang ini hadir di ibupejabat DPIM sementara DPIM pula diwakili oleh seramai 21 orang termasuk ahli-ahli Biro Korporat. YBhg Tan Sri Dato' Muhammad Ali Hashim, Naib Presiden DPIM telah memberikan ucapan alu-aluan dan taklimat di majlis ini.

•  Lawatan Al-Ahwal Trading Holding Group, Republik Yemen (26 Mei 2008)

Majlis dipengerusikan oleh YBhg Tn. Hj. Razali Dato' Hj. Rahmat, Setiausaha Agung DPIM. Kunjungan dagang dari Republik Yemen ini telah disertai oleh 14 orang ahli rombongan. Majlis disempurnakan dengan slot Jaringan Bisnes bersama-sama usahawan-usahawan DPIM.

•  Lawatan Delegasi Ekonomi Daripada Republik Kyrgyz (17 Mac 2009)

YM Tengku Tan Sri Dato' Seri Ahmad Rithauddeen Tengku Ismail, Presiden DPIM telah menyambut kehadiran para delegasi yang diketuai oleh Mr. Bakiev Zulkainar, Timbalan Pengarah Bishkek Free Economic Zone.

Lawatan Ke Japara, Indonesia

Biro Usahawan Wanita telah membuat lawatan dan ‘business matching' ke Japara, Indonesia pada 23hb hingga 28hb April 2009, peluang ini diambil oleh ahli-ahlinya yang ingin mengembangkan perniagaan di arena antarabangsa.

Lawatan Bisnes ke “12th Musiad International Trade Fair” (22 – 25 Oktober 2008, di Istanbul Fairs Center, Yesilkoy, Istanbul

Seramai 11 orang ahli DPIM telah mengikuti lawatan bisnes ke “12th Musiad International Trade Fair”. Di antara objektif program termasuklah mencari peluang bisnes bagi mengembangkan dan membuka pasaran bisnes, mencari produk-produk baru dan menjalin hubungan bisnes dengan pengusaha-pengusaha di Turki.

Lawatan ke Negara China

Pada 3 – 5hb Jun 2009, Naib Presiden DPIM, YBhg Dato' Dr. Abdul Latif Awang telah menyertai Rombongan Lawatan Rasmi YAB Perdana Menteri Ke Negara China. Penyertaan ini adalah daripada pelawaan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) . Terdahulu, pada 10 – 13hb September 2008, beliau telah menyertai “China (Ningxia) International Halal Food/Muslim Commodities Festival And Ningxia Investment And Trade Fair di Yinchuan – China”.

Penyertaan ini adalah atas jemputan dari Kerajaan Ningxia Autonomous Region kepada DPIM atas kejayaan rombongan dagang DPIM ke tempat yang sama setahun sebelumnya yang diketuai oleh YM Tengku Tan Sri Dato' Seri Ahmad Rithauddeen Tengku Ismail, Presiden DPIM. Sesi menandatangani Memorandum Persefahaman dengan Datuk Bandar Wuzhong City telah termenterai pada 10hb September 2008 di Bangunan Kerajaan di Yinchuan. Memorandum Persefahaman juga ditandatangani dengan The Association Of Ningxia-Hui Autonomous Region di Bandar Yinchuan. Dengan itu persetujuan telah dicapai untuk membolehkan pedagang-pedagang kedua-dua negara membawa masuk produk-produk halal dari China ke Malaysia dan sebaliknya.

Atas keyakinan terhadap usahawan-usahawan kami, DPIM juga telah menerima pelawaan untuk memasuki tender-tender diperingkat antarabangsa terutamanya daripada Republik Iraq dan Mauritius, melalui kedutaan mereka.

PENGLIBATAN DPIM DENGAN KEMENTERIAN-KEMENTERIAN

•  YBhg Dato' Seri Hj. Mohd Yussof Latiff, Timbalan Presiden DPIM telah menyertai Sesi Dialog Bersama Persatuan-persatuan Bumiputera Sempena Persidangan Perwakilan Pejabat MITI dan Agensi di Luar Negara pada 24hb Jun 2009, di Pacific Ballroom C, Best Western Premier Seri Pacific, Kuala Lumpur. Penglibatan DPIM bukanlah asing kepada MITI kerana saban tahun DPIM menyertai Dialog MITI. Terbaru DPIM telah mengemukakan dan membentangkan perkara berkaitan dengan ‘FDI Masterlist' yang telah mendapat perhatian khusus daripada MITI dan MIDA. Perjumpaan khas diantara MIDA dan Dewan Perdagangan Islam Malaysia berkaitan perkara ini telah berlangsung pada 26hb Mac 2009.

•  DPIM juga telah bekerjasama dengan Institut Integriti Malaysia (IIM) dalam perlaksanaan Program Bina Wadah. Lantaran itu DPIM kerap mendapat jemputan dari IIM dalam program mereka seperti “The CIMA-IIM Debat On Ethic” pada 4hb Mac 2009.

•  Peranan DPIM dalam memperkasakan nilai-nilai Islam dan kemajuannya di Malaysia amat besar sehinggalah dipelawa untuk menganggotai Jawatankuasa Penilaian Perspektif Islam Hadhari sebagai panel oleh Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).

•  DPIM sentiasa memberi sokongan kepada MATRADE dalam program mereka seperti ‘Intrade Malaysia”, Konvensyen Usahawan Bumiputera 2009” dan “Dialog MITI' iaitu berdialog dengan YB Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri pada 12 Februari 2009.

•  DPIM tidak ketinggalan menyertai Kongres Ekonomi Islam Ketiga (KEI-3) dan Festival Pembangunan Ekonomi Islam (i-Fest ‘08) anjuran Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia(YaPEM) pada 5 November 2008.

•  DPIM juga telah diberi penghormatan untuk menyertai mesyuarat Gabungan Professional Muslim anjuran Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia.

•  DPIM telah diberi pengiktirafan untuk menjadi Panel Hakim di Konvensyen Program Usahawan Muda Peringkat Nasional Ke 12 oleh Institut Keusahawanan Negara (INSKEN), pada 23 – 26hb Mei 2008.

•  DPIM telah menyertai '6TH MALAYSIA INTERNATIONAL HALAL SHOWCASE (MIHAS 2009)', 6-10hb Mei MECC Di Kuala Lumpur.

Selain daripada itu, DPIM juga menjadi landasan untuk ahli-ahlinya menyuarakan pandangan kepada pihak kerajaan dengan mengutarakan usul-usul yang berkenaan dengan masalah bekalan beras di Malaysia. DPIM telah menghantar surat kepada Kementerian Pertanian & Industri Asas Tani Malaysia berkaitan permasaalahan ini. Lanjutan itu satu Forum Padi Dan Beras Negara ‘Antara Senyum Dan Tawa Petani' telah diadakan pada 7hb Februari 2009 di Hotel Starcity, Alor Setar, Kedah.

Bagi mengenengahkan pandangan ahli-ahlinya, satu perjumpaan pula telah diadakan dengan Bank Negara Malaysia bagi membincangkan berkenaan dengan Transaksi Produk Kewangan Islam sebagai tindakbalas kepada usul yang diutarakan oleh ahli-ahli DPIM dalam mesyuarat agung tahunan.

Program dan aktiviti yang disenaraikan ini, adalah hanya sebahagian daripada penyertaan ahli-ahli, biro-biro dan DPIM pusat sendiri dalam program-program yang melibatkan mereka. Banyak lagi pihak-pihak yang bekerjasama dan membuka ruang kepada DPIM untuk penyertaan samada di dalam maupun diluar negara. DPIM sebaik mungkin memainkan peranan dalam menyokong

ahli-ahlinya dan agensi-agensi yang berkaitan atas nama jihad bisnes dan kemajuan usahawan Islam secara keseluruhan.

Tahun ini DPIM telah memasuki tahun yang ke 16 dan selama 15 tahun sebelumnya, kami berbangga kerana DPIM telah diterima baik oleh banyak pihak diperingkat Nasional dan Antarabangsa dan segala aktivitinya berjalan dengan lancar tanpa menghubungkaitkan keadaan politik semasa dalam memperjuangkan masa depan usahawan Islam di Malaysia.

Terima kasih.

YM TENGKU TAN SRI DATO' SERI AHMAD RITHAUDDEEN B. TENGKU ISMAIL

PRESIDEN
Ibupejabat
Dewan Perdagangan Islam Malaysia
21hb Julai 2009

 

 

 

 
Copyright 2007 - 2008 © Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM) - webmaster@dpim.com.my All rights reserved.