DPIM: DEB perlu didefinisi semula
KUALA LUMPUR 5 Ogos (UTUSAN) - Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM) hari ini mencadangkan supaya Dasar Ekonomi Baru (DEB) diberikan satu definisi semula yang relevan buat suasana masa kini.
Naib Presiden dan Pengerusi Biro Korporat DPIM, Tan Sri Muhammad Ali Hashim berkata, langkah itu juga memerlukan pemikiran semula konsep serta susunan strategi dan pembaharuan institusi yang berupaya membasmi ketidakadilan sekali gus mengatasi kelemahan di dalam pelaksanaannya.
"Konsep itu juga perlu mengambil kira dimensi global," katanya semasa menyampaikan ucaptama pada Wacana Jihad Bisnes anjuran Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) di sini hari ini.
Beliau yang juga Presiden dan Ketua Eksekutif Johor Corporation (JCorp) berkata, DEB telah berjaya menjadi pemangkin dalam mengimbangi ekonomi antara kaum yang telah menjamin kelangsungan kestabilan, kemakmuran dan perpaduan negara.
"Usaha Melayu untuk menguasai ekonomi terbantut apabila DEB gagal mencapai matlamatnya," katanya.
Selain itu, beliau berharap ahli-ahli perniagaan Melayu dan Islam supaya mengasah bakat keusahawan dalam usaha memperkasa ekonomi umat Islam di negara ini.
Bakat keusahawanan ini diharap dapat membantu menjana kekayaan dan menambah nilai ekonomi menerusi keupayaan dan persaingan, katanya.
Wacana Jihad Bisnes adalah salah satu usaha YaPEIM bagi menggerakkan resolusi pada Kongres Ekonomi Islam Ketiga (KEI-3) anjuran YaPEIM dari 12 hingga 15 Januari tahun ini.
Utusan Malaysia
