Wakafkan syarikat milik kerajaan
TULISAN Kamarulzaman Ismail di bawah tajuk Elak Petronas Diresapi Politik yang tersiar di ruangan ini 24 Jun, 2009, sangat menarik perhatian saya. Saya menyokong penuh saranan Kamarulzaman supaya Petronas dielakkan daripada ‘diresapi politik'.
Seperti kata beliau: “Hakikatnya, sudah terlalu banyak syarikat berkaitan kerajaan yang tenat atau hampir gulung tikar kerana campur tangan politik yang melampau.”
Sebenarnya, kita dapat juga saksikan banyak GLC (syarikat milik kerajaan) yang dahulunya telah diswastakan atas campur tangan politik, akhirnya terlepas langsung hak miliknya.
Terdapat juga beberapa daripada kepentingan bisnes bernilai yang telah menjadi milik asing, sehingga merosot kedudukan pegangan kepentingan negara.
Dengan demikian kita perlu mencari satu formula yang lebih mantap untuk mengelakkan GLC-GLC berwibawa seperti Petronas, Felda, PNB, Tabung Haji dan seumpamanya daripada juga terlepas pegangan satu hari nanti.
Saya berpandangan bukan sahaja kita tidak harus mengizinkan campur tangan politik melampau, kita sebenarnya harus bertindak lebih berani dari itu, jika hendak menjamin warisan GLC seperti Petronas dapat dikekalkan berpanjangan untuk manfaat bangsa dan negara.
Sekiranya hendak dikekal dan diselamatkan GLC-GLC yang berwibawa dan besar manfaatnya ini, cara yang lebih sesuai ialah kita wakafkan sahaja mereka, menjadikan mereka badan-badan wakaf korporat kebangsaan.
Syukur Alhamdulillah, seperti kata Kamarulzaman, Petronas sejauh ini telah dapat dielakkan daripada campur tangan politik melampau.
Demikian juga dengan banyak GLC lain di peringkat Pusat dan negeri-negeri, termasuk seperti Johor Corporation yang mendapat manfaat daripada kebijaksanaan dan pandangan jauh pemimpin-pemimpin politik kita sejauh ini.
Bagaimanapun kebimbangan saya, seperti juga kebimbangan Kamarulzaman dan ramai rakyat serta warganegara Malaysia lainnya ialah sejauh mana kebijaksanaan dan pandangan jauh seperti ini dapat dikekalkan.
Wakaf korporat
Konsep wakaf korporat mungkin sesuatu yang baru bagi ramai. Namun, di dalam Kongres Ekonomi Islam Ke-3 yang berlangsung pada 12 Januari, 2009, kongres telah sebulat suara menerima gagasan Jihad Bisnes yang telah menjadikan wakaf korporat sebagai strategi terpenting untuk menjayakannya.
Di samping itu, Johor Corporation juga telah memulakan langkah untuk menuju ke arah itu dengan mewakafkan sebahagian saham miliknya dalam beberapa buah syarikat tersenarai dengan nilai aset bersih berjumlah RM200 juta pada 3 Ogos, 2006.
Tujuannya, satu hari nanti, apabila jelas terbukti manfaatnya, seluruh kepentingan korporat Johor Corporation, insya-Allah, akan diwakafkan sepenuhnya.
Jelasnya, Petronas dan GLC lain boleh diwakafkan untuk menjamin kesinambungannya bagi manfaat generasi akan datang.
Walaupun konsep wakaf korporat ini perlu dimantapkan lagi dan kemungkinan juga perlu diberi dokongan perundangan untuk memangkinkannya, saya penuh yakin dan percaya bahawa ia merupakan satu formula yang dapat melindungi bukan sahaja kepentingan anak bangsa di zaman ini, bahkan juga kepentingan seluruh generasi warganegara Malaysia di zaman-zaman mendatang.
Sumber daripada Utusan Malaysia
