JCorp cemerlang urus tujuh masjid
JOHOR BAHRU 29 Mac - Johor Corporation (JCorp) akan menguruskan sebuah lagi masjid di sini selepas berjaya mengurus tujuh buah masjid dengan cemerlang sebagai menunaikan tanggungjawab sosial syarikat tersebut kepada umat Islam di negeri ini.
Antara masjid berkenaan ialah Masjid An-Nur Larkin Sentral, Masjid An-Nur Kotaraya, Masjid An-Nur Kompleks Pusat Bandar Pasir Gudang, Masjid Jamek Pasir Gudang, Masjid Jamek Taman Cendana Pasir Gudang, Masjid Jamek Ladang Ulu Tiram dan Masjid Pulau Sibu.
Ketua Eksekutif Kumpulan JCorp, Tan Sri Muhammad Ali Hashim berkata, selain itu sebuah lagi masjid akan dibina di bangunan KOMTAR di sini setelah ia siap dibangunkan semula bagi kemudahan masyarakat Islam.
"Kita bina masjid di pusat membeli- belah agar orang ramai sedar akan kewajipan mereka terhadap ibadah. Lagipun sejak akhir-akhir ini syarikat JCorp telah mencapai kejayaan menggalakkan.
"Adalah menjadi prinsip JCorp untuk menjadikan perniagaan sebagai cabang jihad. Prinsip begitu perlu kerana jika dilihat, umat Islam masih jauh ketinggalan dalam bidang perniagaan," katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis sambutan Maulidur Rasul 1403 Hijrah anjuran Dewan Perdagangan Islam Malaysia Negeri Johor (DPIMNJ) di Masjid An-Nur Larkin Sentral di sini, baru-baru ini.
Turut hadir Mufti Johor, Datuk Mohd. Tahrir Shamsudin dan Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri, Abdul Rahman Jaafar.
Muhammad Ali yang merupakan Pengerusi DPIMNJ berkata, majlis yang diadakan buat kali keempat itu bertujuan untuk mewujudkan hubungan mesra antara masyarakat dan usahawan Islam.
Pada majlis tersebut, DPIMNJ turut menyampaikan sumbangan sebanyak RM22,284 untuk Tabung Gaza.
Sumber daripada Utusan Malaysia
