KENYATAAN MEDIA

Dewan Perdagangan Islam Malaysia menyokong penuh langkah-langkah yang telah dibentangkan oleh pihak kerajaan dalam usaha menjaga keutuhan pertumbuhan ekonomi Negara. Suntikan dana tersebut yang dijangka mampu memulihkan ekonomi negara yang lembap akibat kesan kemelesetan global dan pada masa sama, diharapkan dapat memastikan kesejahteraan rakyat, lebih-lebih lagi kepada usahawan-usahawan yang sedang mendapat tempias yang hebat akibat daripada gelora ekonomi global ini.

Dewan Perdagangan Islam Malaysia menyarankan agar agensi-agensi kerajaan yang terlibat dalam perlaksanaan strategi-strategi yang telah dibentangkan itu lebih prihatin dan ikhlas dalam menyokong usahawan-usahawan yang kini menghadapi masalah memperkembangkan perniagaan lebih-lebih lagi kepada usahawan-usahawan yang telah mengeluarkan modal yang amat besar untuk memulakan perniagaan masing-masing.

Agensi-agensi kerajaan hendaklah menjadi pemangkin dalam membantu usahawan-usahawan ini dan tidak bersifat sebagai penghalang kepada mereka, untuk terus berkembang dan bertahan dalam dunia bisnes.

Antara projek-projek berpotensi besar daripada ahli-ahli DPIM ialah projek pengilangan minuman dalam ‘self-heating can' atau ‘hot can' untuk pasaran global dan projek agrotani iaitu pembekalan susu lembu.

Halangan-halangan yang dikenalpasti adalah pemberian pinjaman kepada projek pengilangan dan pembekalan minuman ini sungguhpun terdapat potensi untuk mendapatkan keuntungan yang lebih besar gara-gara daripada pinjaman digantung tanpa usul periksa. Projek yang mendapat tempahan dari luar negara ini terpaksa menangguhkan pengekspotan barangan tersebut kerana permohonan kepada agensi-agensi yang berkaitan telah ditolak.

Selain daripada itu, terdapat kes dimana kekurangan infrastruktur dalam sektor agrotani seperti kekurangan pembekalan ‘tanker' bersesuaian oleh agensi-agensi yang berkaitan, mengakibatkan pembuangan susu lembu dalam kadar yang tinggi kerana rosak, akibatnya usahawan ini menanggung kerugian yang amat besar.

Dengan ini, Dewan Perdagangan Islam Malaysia sekali lagi menyarankan agar agensi-agensi yang berkaitan melihat kembali kesukaran yang dihadapi oleh usahawan-usahawan akibat daripada birokrasi dan kekurangan ketelitian dalam mengimplimentasikan peranan-peranan mereka, sewajarnya.


YM TENGKU TAN SRI DATO' SERI AHMAD RITHAUDDEEN B. TENGKU ISMAIL
PRESIDEN

Dewan Perdagangan Islam Malaysia
11hb Mac 2009

 

 
Copyright 2007 - 2008 © Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM) - webmaster@dpim.com.my All rights reserved.