Peluang teroka makanan halal
KUALA LUMPUR 18 Mac - Pelabur negara ini diminta meneroka industri pemakanan halal di Republik Kyrgyz yang dilihat berpotensi untuk dibangunkan pada masa akan datang.
Pengerusi Dewan Perniagaan Islam Malaysia (DPIM), Tan Sri Tengku Ahmad Rithauddeen Tengku Ismail berkata, dengan 67 peratus penduduk negara itu beragama Islam, pelaburan tersebut amat menguntungkan.
Beliau berkata, kedudukan negara itu di antara China, Uzbezkistan dan Tajikistan yang juga mempunyai penduduk Islam yang cukup ramai, turut menjadi daya tarikan.
"Di sana, pelabur yang mempunyai kepakaran serta pasaran dalam industri pemakanan halal mempunyai prospek untuk mengembangkan bisnes,'' katanya.
Beliau menyatakan demikian kepada pemberita selepas menerima kunjungan Kaunselor Kedutaan Kyrgyz, Lira Sabyrouq yang mengetuai delegasi dari negara itu di sini semalam.
"Daripada perbincangan dengan mereka, didapati keadaan muka bumi di sana cukup sesuai memajukan industri terbabit.
"Selain daripada dua sektor itu, sektor perlombongan seperti emas dan raksa, pertanian serta pelancongan juga antara peluang pelaburan yang menarik,'' ujarnya.
Sumber daripada Utusan Malaysia
