Tubuh semula LPN

ALOR SETAR 7 Feb. - Dewan Perniagaan Islam Malaysia (DPIM) Kedah menggesa kerajaan mewujudkan semula Lembaga Padi dan Beras Negara (LPN) untuk menjamin bekalan beras negara sentiasa mencukupi.

Pengerusi Jawatankuasa Forum DPIM Kedah, Abdullah Hashim berkata, dewan berkenaan mencadangkan perkara itu memandangkan beras adalah makanan utama penduduk Malaysia dan negara akan menjadi tidak stabil jika bekalan makanan terjejas.

"Cadangan untuk mewujudkan semula LPN ini akan dikemukakan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi secepat mungkin.

"Pihak kami yakin dengan penubuhan semula LPN, nasib para pesawah di seluruh negara akan terbela," katanya pada sidang akhbar penganjuran Forum Padi dan Beras Negara yang bertemakan 'Antara Senyum dan Tangis Petani' anjuran DPIM di sini hari ini.

Menurut Abdullah, LPN yang ditubuhkan oleh kerajaan pada tahun 1971 telah dapat membantu petani dan menjamin kesinambungan bekalan beras negara.

"Selepas LPN digantikan dengan Bernas (Syarikat Padiberas Nasional Berhad) dan menjadi sebuah badan swasta, nasib petani semakin sukar.

"Ini kerana Bernas menjadi sebuah badan yang mementingkan keuntungan dan tidak memikirkan tentang kepentingan para petani," katanya.

Abdullah menambah, kewujudan semula LPN juga akan dapat membantu memberi nafas baru kepada pengilang dan pemborong Melayu yang semakin menderita.

"Penjualan beras dan padi kini dimonopoli oleh kaum bukan bumiputera dan apabila harga beras melambung tinggi di pasaran, harga padi pula tidak meningkat.

"Kami mahu petani juga dapat merasai keuntungan daripada hasil titik peluk mereka," ujarnya.

Sumber daripada Utusan Malaysia

 

 

 

 
Copyright 2007 - 2008 © Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM) - webmaster@dpim.com.my All rights reserved.