Forum 'Antara Senyum dan Tangis', Sabtu ini

ALOR SETAR 4 Feb. - Dewan Perniagaan Islam Malaysia (DPIM) Kedah akan menganjurkan Forum Padi dan Beras Negara bertemakan 'Antara Senyum dan Tangis Petani' di Hotel StarCity di sini Sabtu ini.

Pengerusi DPIM Kedah, Dr. Abdul Jalil Ahmad memberitahu, forum tersebut bertujuan membela kepentingan petani secara keseluruhannya yang pada masa kini semakin terhimpit dengan pelbagai masalah berhubung isu bekalan beras negara.

''Di samping petani, forum ini akan membincangkan kedudukan pengilang dan pemborong bumiputera yang turut dilanda masalah sehingga banyak syarikat milik mereka 'gulung tikar'," kata beliau dalam sidang akhbar di pejabat DPIM negeri di sini hari ini.

Menurut beliau, Pengerusi Gabungan Badan Ekonomi Melayu (Gabem), Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik akan membentangkan kertas kerja pada forum berkenaan yang terbuka kepada petani, pengguna dan agensi-agensi berkaitan padi dan beras.

Lain-lain ahli panel yang dijemput ialah bekas Timbalan Ketua Pengarah Lembaga Padi dan Beras Negara (LPN), Ahmad Anwar Ibrahim, Timbalan Presiden DPIM Kedah, Abdullah Hashim, Ketua Pegawai Eksekutif Kedah Agro Sdn. Bhd. Anuar Tahir dan Timbalan Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) Negeri Kedah, Datuk Shuib Lazim dan Datuk Mahfuz Omar.

Abdul Jalil berkata, seramai 2,000 orang dijangka menghadiri forum berkenaan yang bukan sahaja terdiri daripada petani-petani di Kedah, malah dari negeri-negeri jiran di utara iaitu Perlis, Pulau Pinang dan Perak.

Beliau menjelaskan, resolusi forum tersebut akan dikemukakan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menerusi Gabem yang diwakili oleh Abdul Rahim.

''Kita harap forum ini berjaya membantu petani-petani atau pihak berkaitan dengan masalah padi dan beras kerana isu tersebut sudah begitu lama dipinggirkan," kata beliau.

Menurut beliau, menerusi forum berkenaan juga, luahan hati mengenai masalah melibatkan petani dapat didengar supaya tindakan tertentu dapat diambil oleh pihak berkuasa.

Sumber daripada Utusan Malaysia

 

 

 
Copyright 2007 - 2008 © Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM) - webmaster@dpim.com.my All rights reserved.