Module Bengkel Persidangan Pemitaran
Peranan Ekonomi Umat Islam

Tempat: Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya
Tarikh: 09/09/2008

____________________________________

Label Islamik belum cukup perkasa ekonomi

 

PUTRAJAYA 9 Sept. - Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, niat yang baik dan label Islamik semata-mata masih belum mencukupi untuk memperkasakan ekonomi Islam.

Beliau berkata, pemerkasaan ekonomi Islam perlu disertai dengan aspek pengisian dan kaedah pelaksanaan pintar yang mampu mengurangkan risiko kegagalan tetapi membawa kejayaan.

''Pengajaran penting yang boleh diambil dari perjalanan ekonomi Islam sebagai satu disiplin, kerjaya dan aspek kehidupan adalah kita perlu memastikan bahawa niat yang baik itu disertai dengan cara yang baik.

''Kadangkala sekadar memiliki niat yang baik tetapi dengan menggunakan cara yang gopoh, pendek akal dan bermatlamatkan sasaran jangka pendek, boleh mencemar kesucian niat yang baik dan membawa kepada kegagalan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan persidangan Pemintaran Peranan Ekonomi Umat Islam anjuran Yayasan Kajian dan Strategi Melayu di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.

Hadir sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mustapa Mohamed, dan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahrir Abdul Samad.

Turut hadir Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Tan Sri Muhammad Muhd. Taib dan pengerusi persidangan, Tan Sri Hashim Meon.

Najib berkata, pendekatan bijaksana bukan sahaja mampu meminimumkan risiko tetapi menyediakan pelan-pelan kontigensi untuk bertindak sekiranya berhadapan masalah atau halangan.

Katanya, sesuatu yang dilaksanakan secara pintar pasti menuntut pemerahan daya pemikiran tinggi, yang diperkasakan melalui proses musyawarah dan diadaptasi mengikut keperluan setempat, sezaman dan keadaan ketika itu.

''Dengan kata lain sesuatu yang pintar haruslah bersifat dinamik dan bukan statik mahupun stereotaip," katanya.

Najib menambah, pemartabatan ekonomi Islam bukan terletak pada istilah islamik tetapi ciri-ciri, intipati dan kandungan pada apa yang dilabelkan sebagai islamik.

Beliau berkata, sekiranya hanya label sahaja berbunyi Islamik tetapi pencernaan dan pengendalian perkara yang dilabelkan islamik itu menggadaikan nilai-nilai kecekapan, profesionalisme, meritokrasi, integriti dan banyak lagi faktor-faktor lain yang dipandang tinggi, maka label islamik itu kurang bermakna.

''Silap langkah, maka akan kedengaran kata-kata seperti 'indah khabar dari rupa' atau 'cakap tidak serupa bikin'," katanya.

Najib berkata, oleh kerana ekonomi Islam itu bersifat konseptual dan praktikal, maka skop gagasan pemangkin kepada pemerkasaan perlu melibatkan usaha melahirkan tokoh-tokoh dalam pelbagai bidang.

Dalam hal ini, beliau menyarankan supaya diwujudkan program pementoran bagi mempergiatkan lagi usaha melahirkan tokoh-tokoh yang mempunyai kepakaran tinggi dalam bidang-bidang berkaitan ekonomi Islam.

''Jika umat Islam hendak maju ke depan dalam apa-apa bidang, secara logiknya yang bakal meneruskan usaha sedia ada perlu menjadi lebih perkasa dari pelaksana sebelumnya.

''Jika pemindahan kepakaran ini tidak berlaku maka ada kemungkinan kita mengulangi kesilapan lalu," katanya.

Beliau menambah, dalam menjayakan konsep pementoran itu, kementerian dan agensi yang berkaitan perlu memikirkan bagaimana untuk menarik kumpulan yang telah mendapat manfaat daripada pelbagai tawaran untuk berkongsi pengalaman sama ada sebagai mentor ataupun menti.

Utusan Malaysia

 
Copyright 2007 - 2008 © Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM) - webmaster@dpim.com.my All rights reserved.