TEKUN agih RM7.7j bantu usahawan bumiputera
KOTA KINABALU 29 Ogos - Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) mengagihkan bantuan RM7.7 juta bagi membantu usahawan kecil di Sabah mengembangkan perniagaan mereka.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif, TEKUN Nasional, Datuk Abdul Rahim Hassan berkata, pihaknya menyasarkan lebih banyak bantuan dapat diagihkan kepada usahawan yang berminat.
''Dari Januari hingga Ogos ini, TEKUN memberikan pinjaman kepada usahawan RM160 juta di seluruh negara dan daripada jumlah itu, sebanyak RM7.7 juta adalah di Sabah.
''Kemudahan ini adalah untuk membantu golongan bumiputera berjaya dalam perniagaan dan membangunkan serta melahirkan masyarakat perdagangan dan perindustrian di kalangan bumiputera di Sabah," katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada seminar pembangunan usahawan anjuran bersama Dewan Perniagaan Islam Malaysia (DPIM) di Dewan Sinar Mustika di Kota Kinabalu di sini semalam.
Turut hadir Pengerusi Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM) Sabah, Mukti Syaubari.
Abdul Rahim berkata, sebagai salah satu langkah memberi kesedaran mengenai peranan TEKUN, pihaknya menganjurkan seminar dan dialog dengan sasaran penyertaan di kalangan usahawan kecil.
''Saya percaya inisiatif dan usaha kerajaan ini akan banyak melahirkan bakal usahawan di kawasan ini dan akan mendapat memberi faedah menerusi pelbagai perkhidmatan dan kemudahan yang ditawarkan.
''TEKUN akan sentiasa memberikan segala sokongan dan kerjasama mahupun memberi bimbingan tentang bagaimana untuk menguruskan perniagaan supaya maju dan berjaya," katanya.
Tambah beliau, TEKUN adalah institusi yang menjaga kepentingan peniaga kecil bagi membolehkan mereka meneroka pasaran produk ke peringkat yang lebih tinggi.
''Ini barulah dapat dilihat TEKUN sebagai institusi yang membantu bagaimana untuk berniaga dan mempercepatkan perniagaan para usahawan tempatan di sini.
Sementara itu, Mukti berkata, masyarakat tempatan khususnya usahawan perlu mengambil kesempatan memajukan perniagaan mereka melalui bantuan yang disediakan oleh kerajaan.
''Kita jarang dapat peluang seperti ini dan saya harap agar usahawan tempatan yang mendapat pinjaman ini tidak sia-siakan modal yang disediakan, malah terus berusaha mengeluarkan produk berkualiti," ujar beliau.
Tambah Mukti, melalui bantuan TEKUN itu juga, para usahawan perlu bekerja lebih keras dan gigih berusaha untuk mendapat hasil lumayan dalam bidang perniagaan.
Seminar selama sehari itu disertai oleh lebih 500 peserta termasuk ahliDPIM.
